Home Rasuah Busters Rasuah Busters cadang modul anti-rasuah diperkenal di sekolah

Rasuah Busters cadang modul anti-rasuah diperkenal di sekolah

0
Rasuah Busters cadang modul anti-rasuah diperkenal di sekolah
Pendidikan mengenai bahaya rasuah perlu diberi penekanan sejak di bangku sekolah. (Gambar kecil: Mohd Syahir)

SHAH ALAM – Pendidikan mengenai bahaya rasuah perlu diberi penekanan sejak di bangku sekolah bagi memastikan generasi muda berprinsip dan tegas menolak amalan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, usaha itu boleh dilaksanakan dengan menambah baik kurikulum sedia ada melalui kerjasama kerajaan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Langkah tersebut termasuk memperkenalkan modul khas berkaitan rasuah dalam mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral atau subjek Sivik.

“Apabila adanya modul rasmi, pelajar bukan sekadar mendengar isu rasuah secara umum tetapi mereka belajar secara teratur mengenai kesan buruk dan dosa rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Syahir, yang juga Ketua Jawatankuasa Hubungan Korporat Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) menegaskan pengenalan silibus itu akan memberi penekanan lebih serius berbanding sekadar ceramah atau kempen kesedaran.

Jelasnya, usaha jangka pendek seperti ceramah, seminar dan pameran kesedaran masih penting, namun modul khas akan memastikan mesej antirasuah sampai secara menyeluruh kepada semua pelajar.

“Kalau selama ini isu rasuah hanya disentuh secara tidak rasmi, alangkah baik jika ia dimasukkan secara sistematik dalam pembelajaran. Cara ini generasi kita akan lebih tegas menolak rasuah sejak muda,” ujarnya.

Pengetua Sekolah Menengah Al-Azhar itu turut menjelaskan, silibus khas boleh mengandungi elemen undang-undang, nilai moral serta perspektif agama agar pelajar mendapat gambaran menyeluruh.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu membentuk sahsiah pelajar, malah menyokong usaha negara membina masyarakat berintegriti dan bebas rasuah.

“Pendidikan adalah senjata paling berkesan untuk melahirkan rakyat yang jujur, amanah dan berprinsip. Jika kita mula dari sekolah, hasilnya akan dirasai pada masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here