Home Rasuah Busters Rasuah bukan sekadar jenayah tapi pengkhianatan amanah – ABIM

Rasuah bukan sekadar jenayah tapi pengkhianatan amanah – ABIM

0
Rasuah bukan sekadar jenayah tapi pengkhianatan amanah – ABIM
Rasuah dianggap sebagai ghulul iaitu satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah.

KUALA LUMPUR – Rasuah bukan sahaja boleh menyebabkan negara hilang daya saing, malah boleh menghakis nilai moral dan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, ini kerana, menurut perspektif Islam, pemimpin dan penjawat awam memegang amanah rakyat.

Menurutnya, rasuah dianggap sebagai ghulul iaitu satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah, sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang melarang perbuatan memakan harta sesama sendiri secara batil.

“Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa pembentukan negara Madinah yang adil dan berintegriti bermula dengan pendidikan jiwa, penguatkuasaan undang-undang dan kepimpinan yang amanah.

“Malaysia harus kembali kepada asas ini jika mahu melihat keberkatan dan kemajuan yang sebenar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zairudin menambah, antara sektor yang sebelum ini paling terkesan disebabkan rasuah adalah pembinaan, pengangkutan, pertahanan dan perolehan awam.

Dakwanya, sebelum ini terdapat sebahagian projek mega yang sepatutnya membawa impak positif kepada rakyat sering tercemar apabila proses tender diselubungi rasuah, menyebabkan kos meningkat dan kualiti kerja merosot.

“Rasuah juga boleh mengakibatkan ketirisan dana awam dalam bentuk projek terbengkalai, komisen gelap dan pembelian melebihi harga pasaran.

Katanya lagi, kesan rasuah boleh menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan meningkat apabila bayaran ‘under-table’ dimasukkan ke dalam harga akhir.

“Akibatnya, rakyat miskin akan merasai kesannya dan ini bertentangan dengan prinsip keadilan sosial dan ekonomi Islam.

“Pada peringkat akar umbi, rasuah menutup peluang golongan miskin untuk mendapatkan bantuan, lesen dan permit kerana kebanyakannya ‘dibeli’ oleh pihak yang maha kaya. Ketidaksamarataan ini melahirkan jurang sosial yang semakin melebar,” katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia turut berdepan risiko penurunan pelaburan asing, pertambahan hutang negara dan kehilangan kepercayaan antarabangsa jika rasuah tidak dibendung.

Sehubungan itu beliau menegaskan, reformasi sistem perolehan awam, perlindungan kepada pemberi maklumat serta penguatkuasaan undang-undang yang bebas dan tegas perlu segera dilaksanakan.

“Manakala untuk jangka panjang, pendidikan anti rasuah perlu diterapkan dari bangku sekolah lagi, selain memperkasakan institusi agama dalam memberi kefahaman moral dan integriti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here