GEORGETOWN – Pembudayaan integriti perlu disemai sejak kecil lagi dalam usaha membentuk pembangunan modal insan masyarakat yang bencikan rasuah.
Langkah ini bukan sahaja dapat mewujudkan disiplin serta akhlak yang baik malah bakal melahirkan generasi dan pemimpin yang boleh memacu negara ke arah lebih baik tanpa amalan rasuah.
Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Mohd Ali Mohd Yusof berkata, usaha yang dilakukan Rasuah Busters perlu disambut oleh semua pihak dalam usaha menormalisasikan budaya tanpa rasuah dalam kehidupan kita.
“Apa yang dilakukan oleh Rasuah Busters adalah satu usaha murni yang sepatutnya dimulakan lebih awal lagi.
“Bagaimanapun ia bukan satu langkah yang terlambat dan kita masih perlukan usaha-usaha seperti ini dengan lebih banyak lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima kunjungan aripada konvoi #RasuahBusters baru-baru ini.
Dalam program yang berlangsung selama satu jam itu, konvoi Rasuah Busters sempat mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelajar termasuk sesi perkongsian mengenai bahaya rasuah.
Mengulas mengenai pendekatan yang dibawakan Rasuah Busters dalam menangani masalah rasuah di negara ini, Mohd Ali berkata, mesej yang dibawa memberi impak yang positif kepada mereka dalam memahami bahaya jika terjebak dengan jenayah berkenaan.
Beliau berkata, dengan panduan yang diberikan, pihaknya berhasrat untuk mengadakan lagi kempen sedemikian dalam menyebar luas nilai integriti yang seharusnya dimiliki dalam diri seorang insan yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.
“Insya ALLAH selepas ini kami akan anjurkan program seperti ini untuk meningkatkan lagi pemahaman dalam kalangan pelajar tentang bahaya rasuah dan pentingnya integriti.
“Perkara ini perlu didedahkan agar murid celik dengan kesan perbuatan yang tidak beramanah ini,” katanya.