SHAH ALAM – Komitmen membantu menjayakan program Tampung Tambang Balik Mengundi merupakan tanggungjawab Sekretariat Gabungan Bas Malaysia melihat amalan demokrasi dapat disuburkan dalam kalangan anak muda.
Pengerusinya, R Thiagarajan berkata, pihaknya berusaha mendapatkan bas persiaran setelah kebanyakan bas ekspres sudah ditempah dan mempunyai jadual perjalanan menuju hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Dia yang juga Pengerusi Pertubuhan Manfaat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor berkata, menyedari kepentingan membantu golongan belia tidak berkemampuan dan berhadapan kekangan untuk pulang ke kampung, pihak sekretariat meminta kerjasama daripada pengusaha-pengusaha bas persiaran.
“Menerusi pendekatan dan kerjasama baik daripada syarikat-syarikat bas di bawah sekretariat, kami berjaya mendapatkan 11 buah bas persiaran bagi digunakan untuk tujuan program Tampung Tambang Balik Mengundi ini.
“Kita memberi peluang kepada ahli-ahli persatuan bas di negeri lain untuk terlibat sama kerana program ini melalui 11 laluan di beberapa buah negeri di utara, pantai timur dan selatan negara.
“Usahasama dan kerjasama baik daripada persatuan-persatuan ini jelas menunjukkan satu keikhlasan tinggi kami di Sekretariat Gabungan Bas Malaysia untuk melihat anak muda balik mengundi demi memilih pemimpin yang diinginkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Thiagarajan yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Rasuah Busters Johor berkata, pihaknya bernasib baik kerana berupaya mendapatkan bas yang diinginkan sedangkan perkhidmatan bas sangat terhad untuk digunakan sepanjang minggu ini.
Menurutnya, kekangan mendapatkan bas pada minggu ini kerana banyak pihak termasuk pihak berkuasa mahu menggunakan perkhidmatan awam itu bagi tujuan PRU15.
Namun katanya, di atas kepercayaan pihak syarikat bas terhadap Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, kerja keras mendapatkan bas berjaya diusahakan.
“Ini juga adalah sumbangan balik pihak syarikat bas kepada pihak persatuan, selain mengutamakan rakyat terutama anak muda untuk mengundi.
“Menerusi usaha sekretariat, ia membuktikan tiada kepentingan peribadi sedangkan kadar sewa boleh dikenakan dengan harga tinggi di atas permintaan yang sangat besar menjelang PRU15,” katanya.
Sementara itu katanya, pemilihan bas persiaran bagi digunakan untuk program itu adalah bertujuan keselesaan penumpang.
Katanya, perjalanan jauh dan keesokannya adalah hari mengundi, maka keselesaan penumpang adalah perkara yang perlu diberi keutamaan.