SHAH ALAM – Politik bukan sekadar undang-undang atau administratif bahkan turut melibatkan persefahaman dalam kalangan pemimpin itu sendiri.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, persada politik bukan setakat melihat kerencaman gabungan parti yang ada sebaliknya perkara asas itulah sebenarnya yang menentukan kestabilan perjalanan politik.
Beliau berkata, apabila berlaku lompat parti dan siri pengkhianatan, kepercayaan asas antara pimpinan parti telah menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap demokrasi berparlimen, sekali gus memberikan kesan tidak baik untuk negara.
“Harapan saya bukan setakat untuk menstabilkan negara atau hanya peruntukan undang-undang seperti akta anti lompat parti yang melarang ahli politik untuk melompat parti tetapi perlunya ada persefahaman dalam kalangan pemimpin parti.
“Saya lihat apa yang berlaku selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri ketiga dalam masa tiga tahun, Istana Negara memberikan nasihat janganlah yang kalah hilang semua, yang menang, menang semua. Ini adalah pesanan yang meluas dan perlu diterapkan.
“Kita lihat ia mula diamalkan dalam Parlimen setelah Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Reformasi Parlimen Penentu Kestabilan Negara’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis ialah Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin dan Mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut katanya, MoU antara kerajaan dan pembangkang itu dilihat sebagai budaya yang sangat baharu dalam politik negara dan tidak menolak ia masih lagi dalam proses eksperimen.
“Dalam kalangan ahli politik, mungkin pada masa depan kita dapat mengubah budaya politik yang kita kenal selama ini untuk menjadi lebih mesra rakyat dan stabil untuk negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, penerapan pemahaman lebih mendalam mengenai hubungan antara pengundi dengan yang diundi atau wakil rakyat dengan pemilih mesti bermula sejak dari bangku sekolah.
Menurutnya, peluang tersebut dilihat terbuka luas melalui pelaksanaan Undi 18 tidak lama lagi.
“Kita ada peluang yang baik apabila Undi 18 akan dilaksanakan bermula tahun hadapan, namun yang penting bukan setakat keluar mengundi tetapi pendidikan yang perlu diterapkan,” jelas beliau.