SHAH ALAM – Ramai dalam kalangan masyarakat beranggapan rasuah itu perkara biasa yang menjadi sebahagian daripada budaya.
Pensyarah Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, situasi itu berlaku disebabkan kurang kesedaran terhadap gejala rasuah sejak kecil hingga menyebabkan masyarakat sebati dengan perbuatan yang ditegah agama itu.
Menurut beliau, masyarakat seolah-olah menerima dan membiarkan perbuatan rasuah dilakukan secara terbuka tanpa memandang perkara itu sebagai jijik serta berbahaya.
“Ini kerana kita tidak diajar sejak kecil nilai benci dan jijik terhadap rasuah. Seperti mana ibu bapa serta guru mengajar hukum haram menyentuh khinzir, begitulah juga rasuah perlu ditekankan hukumnya.
“Tapi anak-anak tidak dididik dalam aspek ini di mana rasuah lebih buruk kesannya hingga boleh merosakkan kepimpinan negara, institusi dan masyarakat,” katanya kepada krew Rasuah Busters pada Khamis.
Beliau menambah, masyarakat juga hanya memandang buruk perbuatan seperti rogol, rompak dan bunuh tetapi tidak nampak rasuah lebih teruk kesannya terhadap ekonomi, sistem serta kepimpinan negara.
“Masyarakat perlu ada nilai dalaman yang kuat dan sedar bahawa amalan tersebut boleh merosakkan diri serta orang lain.
“Maka mereka tidak akan mudah berkompromi dengan pelaku rasuah kerana rasa jijik yang dilatih sejak kecil seperti mana dilatih menjauhi makanan haram dan sebagainya,” tegasnya.