Home Rasuah Busters Perkukuh Pelan Antirasuah Nasional

Perkukuh Pelan Antirasuah Nasional

0
Perkukuh Pelan Antirasuah Nasional

SHAH ALAM – Semua jabatan dan organisasi agensi kerajaan perlu mendukung Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dalam memastikan usaha lebih menyeluruh dan bersepadu bagi memerangi rasuah.

Ahli Dewan Negara, Senator Fadhlina Sidek berkata, pelan itu merangkumi isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.

“Pelan antirasuah organisasi juga perlu diperkukuhkan dengan komponen sistem bagi mencapai matlamat antirasuah secara berterusan. Justeru, apabila ada ruang dan peluang untuk rasuah, penyelewengan dan salah guna berlaku, ia akan dapat dibanteras.

“Ada beberapa cadangan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di jabatan atau organisasi untuk memastikan proses pemantauan itu dibuat.

“Sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara, ini adalah komitmen di peringkat jawatankuasa untuk memastikan rasuah dibanteras sehingga ke akar umbi.

“Tapi, dalam soal ini, ia bukan sahaja melibatkan rakyat kerana yang lebih utama adalah pemimpin negara perlu memastikan rekod dan reputasi negara berdasarkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dapat dibersihkan,” katanya dalam Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Tak Peduli Halal Haram yang dikendalikan moderator, Hanif Miswan.

Program itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi.

Sementara itu, Fadhlina berkata, usaha mendidik rakyat tentang rasuah perlu diperhebatkan agar ia sampai ke peringkat akar umbi.

“Ia tidak cukup dengan Rasuah Busters dan individu-individu besar seperti Tan Sri Musa Hassan untuk membangkitkan kesedaran tentang rasuah.

Kita perlu didik dan dedahkan sebanyak mungkin agar sentiasa ada yang bercakap, memperingatkan serta mengkritik kepimpinan tentang rasuah.

“Kita juga perlu memperingatkan orang muda mengenainya, ia boleh dimulakan di sekolah dengan isu-isu kesedaran serta adakah anak kita cukup bersedia untuk melawan rasuah ini.

“Masalah ini juga perlu dilihat secara holistik dan perlunya ada gerakan untuk menulis sebanyak mungkin tentang rasuah serta memandang jijik kepada orang yang terpalit dengannya,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here