SHAH ALAM – Kerajaan disaran supaya memperketat mekanisme pemantauan dan audit dalaman institusi kewangan bagi mengelakkan sebarang bentuk salah laku serta penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan integriti sektor berkenaan.
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Helwa Abim), Dr Fatin Nur Majdina Nordin berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap urus niaga dijalankan dengan telus dan beretika, sekali gus mengekang ketirisan tadbir urus serta pelanggaran amanah dalam kalangan pihak berkaitan.
“Usaha lain termasuk mewajibkan pendedahan transaksi mencurigakan, memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat dan menyediakan latihan integriti serta etika kerja yang lebih berkesan.
“Selain itu, jalinan kerjasama dan pemantauan antara kerajaan dengan pihak yang bertanggungjawab bagi firma guaman dan institusi kewangan seperti Majlis Peguam Malaysia serta Lembaga Tatatertib Peguam Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam satu kenyataan berkata, seramai 49 individu melibatkan pegawai dan bekas pegawai beberapa institusi perbankan yang disyaki menerima rasuah daripada beberapa firma guaman akan didakwa secara berperingkat sepanjang November ini.
Menurut kenyataan tersebut, SPRM telah mendapat izin mendakwa secara berperingkat individu-individu berkenaan dan kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Ujar Fatin Nur Majdina, pendedahan kes tersebut amat membimbangkan kerana ia melibatkan golongan profesional yang sepatutnya menjadi contoh baik kepada masyarakat.
“Kes ini juga menunjukkan integriti dalam sektor kewangan rapuh dan terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.
“Ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan dan menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini,” ujar beliau.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah bagi memastikan mesej keadilan dan ketelusan benar-benar diterapkan dalam sistem pentadbiran negara.
“Langkah yang disarankan itu mesti ditekankan kesan salah laku, tatakelola, pecah amanah dan rasuah yang memberi kesan kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara.
“Penekanan dari perspektif agama juga perlu diberi perhatian. Tindakan tegas mesti dilaksanakan kepada mereka yang didapati bersalah, secara adil dan tanpa diskriminasi,” ujarnya.