SHAH ALAM – Individu yang terlibat dengan rasuah akan sentiasa diselubungi perasaan takut, cemas dan tidak tenang terhadap perkara yang dilakukan.
Penolong Setiausaha Masjid Kariah Batu 10 Cheras, Kuala Lumpur, Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah berkata, malah individu terbabit akan sentiasa bersikap waspada dan berhati-hati dengan persekitaran kerana bimbang perbuatan jahatnya terbongkar.
Menurutnya, pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah᾿ adalah sangat bertepatan dengan pelaku perbuatan buruk ini.
“Sebagai orang awam, saya rasa mereka yang terlibat dengan rasuah ini sebagai golongan yang sangat zalim.
“Zalim kerana mereka mengambil hak orang lain demi memenuhi tuntutan hawa nafsu yang tidak pernah puas.
“Situasi sedemikian meninggalkan kesan negatif terhadap masyarakat, negara dan generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada masa sama, Hanifah Nazira berkata, gejala rasuah di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan bagi mengatasi masalah itu kerajaan perlu lebih peka.
“Kerajaan perlu memperbanyakkan lagi kempen bahaya gejala rasuah dan kesannya dalam kalangan masyarakat.
“Antaranya memperbanyakkan program seperti forum, diskusi, pertandingan slogan, penulisan esei dan kuiz berkaitan rasuah yang boleh menarik minat penyertaan masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk membendung gejala rasuah ia memerlukan usaha dan kerjasama ramai pihak, barulah ia akan mendatangkan kesan yang positif.
Katanya, usaha Sinar Harian menjayakan kempen Rasuah Busters ternyata memberi impak positif dalam menyedarkan masyarakat tentang rasuah.
Sementara itu, pengamal media, Mohd Muzammil Ismail berkata, golongan yang terlibat dengan rasuah dikategorikan sebagai perosak imej masyarakat dan negara.
Beliau berkata, golongan itu menerima habuan sebagai balasan dan bersedia menawarkan ‘hadiah’ untuk mendapatkan sesuatu perkara.
“Rasuah adalah perbuatan khianat yang boleh merosakkan imej masyarakat dengan menyalahgunakan kuasa.
“Tindakan sepatutnya perlu diambil bagi menghentikan gejala rasuah, selain hukuman berat yang wajar dikenakan terhadap penerima dan pemberi rasuah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Bagaimanapun katanya, usaha menangani rasuah perlu dijalankan di setiap peringkat tanpa mengira jawatan atau pangkat dengan memperkasa integriti serta memperkukuhkan aspek kepimpinan.
Beliau berpandangan pihak berkuasa sewajarnya tidak memilih bulu dalam menjalankan siasatan yang berunsur rasuah.
“Pihak berkenaan haruslah menjalankan setiap siasatan dengan bebas dan secara terbuka tanpa pengaruh mana-mana pihak berkepentingan,” katanya.