CYBERJAYA – Perkembangan teknologi masa kini yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) perlu diterokai oleh mahasiswa bagi memvariasikan idea dan kaedah penyampaian maklumat berhubung isu rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau yakin dengan kemampuan serta potensi mahasiswa untuk memberi nilai tambah dalam membantu usaha SPRM menyebarluaskan mesej antirasuah kepada masyarakat.
“Penumpuan terhadap mahasiswa ini bukan sahaja untuk memberi pendedahan dan pendidikan apa itu rasuah dan apa itu integriti semata-mata, tetapi apa yang diinginkan adalah nilai diri dan jati diri yang perlu mereka pertahankan dan dibawa ke luar universiti nanti.
“Masa kini kita melihat mahasiswa sudah mula cenderung dan berani untuk bersikap kritis di pelbagai platform media sosial.
“Ia suatu perkembangan yang bagus, namun mahasiswa perlu bijak dalam mengemukakan pendapat dan menyumbang idea,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMAWAR) Edisi Kelima di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.
Tambah Azam, kaedah dan pendekatan yang lebih bersesuaian, intelektual serta beradab harus menjadi amalan.
Menurut beliau, semua pihak kepimpinan institusi pengajian tinggi diharap dapat meneruskan sokongan dan galakan terhadap mahasiswa, khususnya melalui Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan Kor Sukarelawan Anti Rasuah (KoSUAR).
“Ini termasuk usaha-usaha untuk mengembangkan lagi potensi mereka melalui aktiviti rentas universiti mahupun luar negara.
“Saya melihat pendedahan ini boleh dimulakan dengan kolaborasi aktiviti bersama persatuan pelajar Malaysia di luar negara. Ia akan mewujudkan kepelbagaian perspektif dalam membicarakan isu rasuah serta integriti, sekali gus meningkatkan pengetahuan mahasiswa kita,” ujarnya.