KUALA TERENGGANU – Setiap pemimpin perlu dipandu agama masing-masing yang secara jelas mengharamkan segala bentuk rasuah.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, setiap daripada mereka perlu mengenali dosa dan pahala supaya terhindar jenayah rasuah.
“Pemimpin agama mahupun politik harus menunjukkan kepimpinan yang mereka warisi dalam agama masing-masing antaranya menyebarkan kesedaran ajaran agama terhadap rasuah serta melakukan amalan yang mengikut etika dalam masyarakat.
“Kepimpinan melalui tauladan penting kerana peranan setiap daripada mereka perlu bagi memastikan rasuah dapat dilenyapkan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu berkata, solusi yang diambil perlu serius di mana hukuman yang lebih tegas dan menggerunkan wajib dilaksana supaya timbul rasa takut kepada individu terlibat untuk melakukan jenayah rasuah.
“Saya berpendapat jenayah rasuah di Malaysia masih berleluasa dan belum berjaya dikawal. Ia kerana, sesuatu yang dapat dikawal menunjukkan penurunan, sebaliknya benda yang masih menunjukkan peningkatan menunjukkan ia masih tidak dapat dikawal.
“Kita perlu akur bahawa rasuah pembinasa negara, semua agama mengakui rasuah adalah haram dan kita perlu pastikan jenayah ini ditangani dan pelakunya dibawa ke pangkal jalan,” katanya.
Menyentuh mengenai pencetus kepada penglibatan dalam jenayah rasuah, katanya, rasa tidak puas dan hasrat untuk meningkatkan taraf hidup menyebabkan seseorang sanggup menggunakan cara yang salah.
Katanya, rasuah merosakkan semua sifat mulia manusia kerana ia hanya menuntut ilmu kebendaan.
Katanya, nepotisme dan kronisme adalah antara faktor-faktor yang mendorong berlakunya rasuah kerana ia adalah asas untuk mengagihkan perlindungan sekali gus menafikan hak mereka yang layak.
“Orang terlibat rasuah merasakan perlu menyediakan lebih banyak harta bukan sahaja untuk dirinya bahkan kepada anak-anaknya atau tujuh generasinya.
“Keinginan hidup mewah mendorong seseorang untuk menjana wang dengan cara yang curang dan jahat di mana amalan yang jahat dan struktur kuasa sosial yang tidak sama turut mendorong berlakunya rasuah,” katanya.