Home Rasuah Busters Pegawai perikanan tidak mengaku salah luluskan tender adik ipar

Pegawai perikanan tidak mengaku salah luluskan tender adik ipar

0
Pegawai perikanan tidak mengaku salah luluskan tender adik ipar

KOTA BHARU – Seorang Pegawai Jabatan Perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan salah guna kuasa dengan meluluskan tender pembekalan tangki akuakultur bernilai RM71,694 kepada syarikat milik adik iparnya.

Tertuduh, Mohd Rafi Hassan, 56, memohon dirinya dibicarakan oleh mahkamah selepas tuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatan sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Kelantan untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan tender bagi membekal dan menghantar tangki akuakultur berkenaan kepada Syarikat YY Indah Enterprise yang dimiliki oleh Yusneffa Yahya iaitu adik ipar perempuan tertuduh.

Kesalahan dilakukan oleh di Pejabat Perikanan Kelantan, Kota Bharu pada 12 Mei 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Cheah Poh Loon.

Nor Hamizah mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Poh Loon dalam rayuan merayu bagi pihak anak guamnya dibenarkan jamin sebanyak RM5,000 hingga RM8,000 memandangkan tertuduh masih bertugas sebagai pegawai Jabatan Perikanan di Putrajaya.

“Tiada sebab untuk tertuduh tidak memberi kerjasama kepada mahkamah.

“Jadi, saya mohon jaminan yang rendah dikenakan terhadap anak guam saya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Tertuduh membayar wang jaminan dan kes disebut semula pada 18 Mei depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here