SHAH ALAM – Pegawai penguat kuasa perlu memupuk nilai integriti yang tinggi bagi memastikan setiap tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M. Sharib berkata, mereka tidak seharusnya terpedaya dengan sogokan wang tunai atau barangan mewah yang hanya memberi kesenangan sementara.
Menurutnya, perbuatan tersebut boleh menghancurkan kerjaya selain memburukkan imej diri, keluarga, jabatan serta negara.
“Sekali lagi pintu sempadan dan kedaulatan negara dicabuli akibat sikap rakus pegawai yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas penuh tanggungjawab, namun sebaliknya berlaku.
“Di sinilah pentingnya pegawai penguat kuasa mempunyai nilai integriti yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, seramai 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa direman kerana disyaki terlibat dengan sindiket counter setting bagi membolehkan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mematuhi prosedur ditetapkan.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu terdiri daripada empat pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam direman selama tiga hari.
Majistret Uthman Abd Ghani pula membenarkan tiga pegawai agensi penguat kuasa direman selama empat hari serta dua lagi selama lima hari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor dan Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.
Selain itu, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari, manakala Majistret S. Arunjothy membenarkan seorang lagi pegawai direman selama lima hari selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pada hari sama.
Tambah beliau, jika perkara ini berterusan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat serta melemahkan pentadbiran negara.
“Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu ditambah baik, termasuk memperketatkan penggunaan kamera badan sebagai langkah mengelakkan rasuah,” jelasnya.