SHAH ALAM – Badan bukan kerajaan (NGO) antirasuah perlu mengorak langkah lebih strategik dan kolaboratif bagi memastikan usaha membanteras rasuah dapat dijalankan secara berkesan dan berterusan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, usaha tersebut tidak boleh hanya bergantung kepada satu pihak sebaliknya memerlukan jaringan kerjasama luas dengan pelbagai institusi dan lapisan masyarakat.
“Antara keutamaan ialah meningkatkan pendidikan serta kesedaran rakyat mengenai kesan buruk rasuah yang merugikan semua pihak.
“Rakyat perlu faham rasuah bukan isu elit politik semata-mata tetapi memberi kesan besar kepada kehidupan harian masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Selain itu, katanya, NGO harus memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, media dan sektor swasta bagi memperluaskan pengaruh.
“Dengan adanya kerjasama erat, mesej antirasuah akan lebih mudah sampai dan usaha pencegahan lebih berkesan,” katanya.
Nor Halmey turut menekankan kepentingan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital seperti media sosial, platform aduan dalam talian dan aplikasi mudah alih untuk menggalakkan orang ramai tampil membuat laporan.
Katanya, perlindungan terhadap pemberi maklumat juga perlu diperkukuh bagi memberi keyakinan kepada rakyat untuk melapor tanpa rasa takut.
“Undang-undang perlu ditambah baik supaya pemberi maklumat benar-benar dilindungi dan tidak dibalas dengan tindakan yang merugikan mereka,” katanya.
Selain itu, keterlibatan belia juga wajar dipertingkat menerusi program pendidikan sivik dan kempen kesedaran kerana golongan muda merupakan agen perubahan masa depan.
Jelas beliau, walaupun NGO berdepan kekangan dari segi dana, sokongan masyarakat dan risiko keselamatan, pendekatan inovatif mampu mengatasi cabaran itu.
“Dengan keberanian, kerjasama pelbagai pihak dan sokongan masyarakat, kita boleh menjadikan usaha membanteras rasuah lebih berkesan dan berterusan,” katanya.