SHAH ALAM – Negara kerugian hampir RM1 bilion akibat pembaziran atau ketirisan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2019 hingga 2021.
Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, angka itu hanya melibatkan 15 laporan audit prestasi yang dibentangkan di Parlimen pada November 2020 dan belum melibatkan laporan audit lain.
Menurutnya, terdapat pembaziran atau ketirisan bernilai RM978 juta dan angka itu hanya mewakili 6.2 peratus dari jumlah keseluruhan.
“Nilai keseluruhan laporan audit itu berjumlah RM15.7 bilion dan jumlah yang tertiris itu secara relatifnya sangat besar,” katanya ketika forum bertajuk ‘Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku dalam Badan Awam’ yang dianjurkan secara maya pada Rabu.
Forum itu dianjurkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (Mari), US Agency for International Development (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters.
Nik Azman berkata, berdasarkan rekod yang dicatatkan bermula tahun 2011 itu, Jabatan Audit Negara mengenal pasti seramai 1,058 pegawai kerajaan terlibat dalam ketirisan dalam tempoh berkenaan.
“Daripada seramai 1,058 pegawai itu, 992 kesnya telah selesai, manakala 66 kes masih dalam prosiding. Dari angka 992 kes yang selesai tadi, 70 peratus atau sebanyak 698 kes ini dibebaskan kerana bukti tidak cukup untuk didakwa,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 294 baki kes yang dijatuh hukum hanya dikenakan hukuman amaran, turun pangkat, tangguh kenaikan gaji dan dibuang kerja.
Bagaimanapun katanya, beberapa hukuman dikenakan setelah pendakwaan itu tidak terlalu tegas dan tidak setimpal dengan kehilangan wang negara yang mencecah angka berbilion ringgit setiap tahun.