IPOH – Ceramah dan kuliah agama perlu dijadikan medium yang sentiasa relevan sepanjang zaman bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan masyarakat.
Guru takmir, Mohd Hafez Sabri berkata, menjadi kewajipan umat Islam menggerakkan seluruh kaedah dakwah untuk membendung perbuatan kemungkaran agar dapat mengajak masyarakat kembali mengerjakan perkara yang makruf.Menurutnya, pentas ceramah atau kuliah perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi menerangkan kepada masyarakat mengenai hinanya perbuatan rasuah itu.
“Kita akui pendekatan dakwah hari ini harus dipelbagaikan agar ia kekal relevan dan menepati keperluan kelompok sasaran.
“Namun apa yang ingin ditekankan adalah medium ceramah atau kuliah ini merupakan pembentukan modal insan melalui pendengaran. Mereka belajar sesuatu perkara baik atau buruk menggunakan pendengaran.
“Sama-sama kita berusaha menjadikan ceramah dan kuliah sebagai medium yang sentiasa relevan sepanjang zaman bagi membendung gejala tidak sihat seperti rasuah agar sentiasa menjadi peringatan buat semua,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau sehubungan itu berkata, guru takmir perlu memanfaatkan penggunaan media sosial sebagai jambatan kepada masyarakat selain daripada pusat pengajian, masjid dan surau.
Sebagai contoh, katanya, ceramah atau kuliah agama yang berlangsung di surau atau masjid kini boleh ditonton sesiapa sahaja di seluruh dunia secara langsung menerusi Facebook, WhatsApp, Instagram dan medium-medium yang lain.
Menurutnya, dengan cara itu masyarakat berkesempatan menghubungi guru takmir yang berilmu itu untuk mendapatkan khidmat nasihat agar tidak terjebak ke kancah rasuah yang membinasakan.
Sementara itu, Mohd Hafez berkata, guru takmir mesti berperanan menjadi pembimbing dan memberi solusi terhadap sesuatu masalah atau isu dari perspektif Islam.
Menurutnya, tugas mereka bukan sahaja membimbing masyarakat tetapi turut membimbing pemerintah agar tidak terlibat dengan rasuah.