Home Rasuah Busters Media platform terbaik banteras rasuah, kata MCW

Media platform terbaik banteras rasuah, kata MCW

0
Media platform terbaik banteras rasuah, kata MCW

SHAH ALAM – Media boleh dijadikan sebagai platform yang terbaik bagi membanteras gejala rasuah daripada berleluasa di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kebebasan bersuara tersebut hendaklah digunakan sebaik mungkin dalam menggerakkan kesedaran rakyat berkaitan gejala rasuah.

Tambahnya, kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa yang diuar-uarkan secara meluas merupakan satu usaha yang baik dan dapat melibatkan pelbagai pihak.

“Rakyat mempunyai keyakinan kepada isu besar yang dibawa media arus perdana seperti Sinar Harian.

“Sudah semestinya mereka yang terlibat dengan rasuah akan berhati-hati dan berkemungkinan meninggalkan gejala ini apabila membaca berkenaan perkara ini.

“Rakyat akan terpanggil untuk bersama dengan perjuangan ini kerana yakin isu ini akan memberi impak dalam kehidupan seharian,” katanya ketika dihubungi.

Dalam masa sama, Jais berkata, rakyat juga akan bertindak dengan cara yang tersendiri dan akan terpanggil untuk mengikuti nasihat dan pandangan yang diberikan melalui media.

Tambahnya, rakyat akan terus menjadi pelapor yang komited dan berani serta bijaksana dalam memastikan keselamatan diri masing-masing.

“Melalui inisiatif ini juga, kita berharap pelbagai kajian kes dapat dibuat untuk dijadikan teladan dan ukuran kejayaan Malaysia dalam membanteras jenayah rasuah.

“Rasuah perlu dikaji dan didedahkan dari setiap sudut supaya pada masa hadapan Malaysia akan tercatat dalam sejarah dunia sebagai sebuah negara yang dikenali sebagai sebuah negara yang tinggi integritinya,” katanya.

Berkaitan Indeks Persepsi Rasuah, Jais mencadangkan kerajaan untuk melakukan penambahbaikan segera bagi meneutralisasikan persepsi pelabur dan masyarakat dunia terutamanya hal berkaitan dana parti politik.

Katanya, kegagalan tersebut pasti akan memberi kesan yang lebih buruk pada masa hadapan.

Tambahnya, segala sistem dan alatan yang mampu mencegah rasuah yang telah terbukti berkesan di negara barat dan selari dengan ajaran agama perlu diperkenalkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here