Home Rasuah Busters Mat Sabu tidak berputus asa banteras rasuah

Mat Sabu tidak berputus asa banteras rasuah

Mat Sabu tidak berputus asa banteras rasuah
Mohamad Sabu

KLANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa kadangkala beliau naik meluat apabila bercakap tentang rasuah.

Bagaimanapun, tegas Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, beliau tidak akan berputus asa dalam membanteras rasuah sambil menyifatkan perjuangan ini seharusnya tidak ada sifat ‘bebal’.

“Dalam ceramah, kempen saya, inilah tajuk utama. Soal rasuah dan ketirisan yang menyebabkan negara kita jadi begini. Tender yang dibuat secara tidak telus dan bagaimana isteri bekas Perdana Menteri memohon RM180 juta untuk satu projek semuanya kita bercakap.

“Saya sudah naik meluat dah kadang-kadang nak bercakap hal-hal rasuah tetapi saya tidak berputus asa kerana perjuangan ini kita tidak boleh bebal,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohamad dalam masa sama turut mengambil contoh negara Indonesia suatu ketika dahulu antara negara yang ‘kuat’ rasuah tetapi disebabkan keazaman pemerintah atau pemimpinnya dalam membanteras perkara berkenaan, negara itu akan menjadi kuasa ekonomi hebat suatu hari nanti.

“Kita tahu Indonesia sebuah negara yang kuat rasuah suatu ketika dahulu. (Disebabkan) keazaman pemerintahannya terutama selepas reformasi dan lebih hebat lagi berlaku di zaman pemerintahan zaman Presiden Jokowi, beberapa orang menteri dan gabenor-gabenor meringkuk dalam penjara.

“Sekarang ini, Indonesia naik mendadak dan dia menjadi negara utama dalam G20. 2035, dijangka Indonesia berada di tempat kelima dalam dunia di sudut kuasa ekonomi. Puncanya, memerangi rasuah,” katanya.

Tegasnya, isu rasuah bukanlah hanya soal parti politik semata-mata sebaliknya semua rakyat kena berazam memeranginya bersama.

“Tidak kira mereka daripada kaum apa, bangsa apa, rasuah membawa parah kepada masyarakat, pada negara, pada ummah. Oleh itu, saya berjanji akan menjadikan negara ini bebas daripada rasuah satu hari nanti, insya-ALLAH,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here