SHAH ALAM – Masyarakat diharap dapat mengambil alih peranan untuk memutuskan rantaian amalan rasuah dan tidak hanya bergantung kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, peranan tersebut perlu ditukar supaya SPRM dapat menumpukan kepada kerja-kerja untuk menyiasat dan menghukum mereka yang terlibat rasuah.
“Kenapa kita gerakkan Sinar Rasuah Busters ini, kerana saya merasakan kita kena ‘ubah padang permainan’.
“Apa yang kita sedang tunjukkan dalam Sinar Rasuah Busters adalah kita nak memutuskan rantaian. Kalau boleh kita nak masyarakat, ibu bapa, mahasiswa dan pensyarah ambil alih kerja memutuskan (rantaian rasuah) ini dan tidak semata-mata mengharapkan SPRM.
“Biar SPRM fokus kepada kerja-kerja menyiasat dan menghukum mereka yang sudah lama terpalit dengan rasuah,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Program Sinar Live anjuran Yayasan Antirasuah Malaysia (YARM) tersebut turut menampilkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan mantan majistret, Firdaus Ramlan.
Kaji selidik itu dibentangkan Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Mahasiswa Kedoktoran Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Norhaflinda Mohd Sahabuddin serta cendekiawan daripada Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Profesor Madya Dr Hanina Hamsan, Profesor Madya Dr Akmar Hayati Abdul Ghazali dan Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, hasil kajian yang dijalankan dalam kalangan mahasiswa itu diharap dapat membantu dalam memberi kesedaran.
“Saya rasakan dapatan daripada hasil kajian ini menunjukkan sebenarnya pemikiran dan kesedaran mahasiswa mengenai keburukan rasuah ini sudah ada.
“Kita kena memastikan kalau politik dikatakan punca rasuah paling serius, kita kena pastikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, mana-mana (ahli politik) yang ada rekod rasuah, kita tolak.
“Tidak kira apa parti atau agama sekali pun, kalau mereka terlibat atau terpalit dengan rasuah, kita harus tolak dan kita pilih pemimpin-pemimpin yang bersih,” ujar beliau.