SHAH ALAM – Pindaan dan semakan secara menyeluruh terhadap undang-undang serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 perlu dilakukan sebagai usaha memerangi rasuah.
Bekas Anggota Jawatankuasa Khas Mencegah Rasuah (JKMR) SPRM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihak berkuasa perlu menyemak semula proses, sistem dan undang-undang kerana negara memerlukan undang-undang yang lebih tegas sesuai dengan keperluan semasa.
“Misalnya dalam bentuk baharu, pada era data raya dan era teknologi maklumat, gejala rasuah boleh berlaku dalam pelbagai platform, bentuk dan cara seperti penggunaan mata wang kripto dan perbankan digital.
“Hanya perkara baharu yang perlu dimasukkan mengikut perkembangan semasa supaya udang-undang lebih relevan,” katanya pada Ahad.
Jelasnya, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa menyemak undang-undang atau Akta SPRM selepas 10 tahun dikuatkuasakan.
“Mungkin kita boleh mewujudkan satu akta khusus atas nama pencegahan rasuah dan satu akta khusus mengenai akta perkhidmatan SRPM.
“Bermakna dua akta yang berkaitan dengan usaha pencegahan rasuah dan satu untuk memartabatkan lagi status SPRM itu sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Irmohizam yang juga pengamal undang-undang berkata, satu usaha yang holistik dan komprehensif amat diperlukan untuk melawan isu rasuah di negara ini.
Menurutnya, kempen Rasuah Busters yang digerakkan oleh Sinar Harian merupakan alternatif yang baik dan dialu-alukan oleh semua pihak.
“Saya berharap rakyat akan menyokong usaha ini dan perlu lebih bersifat menyeluruh dan konsisten untuk kekal bebas rasuah.
“Kita tidak boleh ‘sekejap panas, sekejap sejuk’. Oleh itu, saya mencadangkan kita adakan Dekad Perangi Rasuah (2021-2030). Inisiatif Rasuah Busters boleh dijadikan asas,” katanya.