SHAH ALAM – Tahap kesedaran berhubung rasuah dalam kalangan masyarakat agak kabur kerana masyarakat masih merasakan ia sekadar melibatkan wang ringgit sedangkan rasuah boleh terjadi dalam pelbagai bentuk dan cara.
Presiden Majlis Belia Felcra Malaysia (MBFeM), Mohd Ezwanuddin Mohamad Bakri, hari ini budaya rasuah sudah menjadi satu kemestian dalam setiap perkara.
“Kita wajar pandang serius isu rasuah kerana ia sudah menjadi darah daging dan meninggalkan kesan tidak baik pada ekonomi, insaniah, kerohanian dan macam-macam lagi.
“Dari sudut emosi, ia boleh mengakibatkan kemurungan kepada mereka yang terjebak dalam jenayah ini,” kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, kata beliau, elemen paling penting yang perlu diterapkan dalam diri seseorang untuk tidak terlibat dalam jenayah rasuah adalah kembali kepada ajaran agama.
Mengulas lanjut Mohd Ezwanuddin berkata, tiada satu pun agama di dunia ini menghalalkan perbuatan rasuah dengan apa alasan sekali pun.
“Setiap individu perlu kuatkan diri dan percaya pada kemampuan diri sendiri dan sentiasa ada rasa tanggungjawab, amanah, ikhlas dan jujur dalam melakukan sebarang pekerjaan.
“Jika amalan tersebut diterapkan dalam diri, Insya-ALLAH semua kerja yang dilakukan lebih berkat tanpa perlu terlibat dalam rasuah.
“Selain itu, antara inisiatif yang boleh diambil untuk memastikan masyarakat tidak terlibat dalam rasuah adalah dengan memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menambah baik sistem pendakwaan khas untuk kes-kes rasuah di negara ini,” ujarnya.