Home Rasuah Busters Kembali kepada pendidikan asas agama

Kembali kepada pendidikan asas agama

0
Kembali kepada pendidikan asas agama

MELAKA – Pendidikan agama yang teguh mampu membendung individu daripada terlibat dengan gejala rasuah.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman berkata, pendidikan agama merupakan asas penting membentuk akhlak diri yang baik serta membina keperibadian diri malah semua agama menolak perbuatan memberi dan menerima rasuah.

“Kita perlu kembali kepada ajaran asas agama dan peranan ibu bapa penting dalam menyemai benih integriti sejak kecil lagi agar anak menolak perbuatan yang bertentangan dengan agama.

“Jika tiada permintaan sudah pasti tiada penawaran, maka selain benteng agama yang kukuh, masyarakat juga jangan sesekali memberi tawaran dan jangan juga beri jika diminta sekalipun,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azlin berkata, pendidikan budaya integriti di universiti penting kerana kes melibatkan rasuah agak tinggi dalam kalangan belia dan graduan.

Menurutnya, golongan itu merupakan aset yang akan membawa negara ke depan dan perlunya mereka ini didekati untuk menyemai budaya benci rasuah.

“Sebagai contohnya Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ada kursus Integriti dan Rasuah, dan ini wajar dicontohi.

“Selain itu peranan ahli politik perlu menjadi teladan yang boleh dicontohi dan keazaman politik kerajaan sangat penting untuk membanteras rasuah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pendidikan berterusan mengenai rasuah juga perlu kekal dijalankan di setiap IPT.

Beliau berkata, cara tersebut sudah cukup untuk membendung gejala rasuah daripada berlaku dalam kalangan mahasiswa.

“Program berbentuk pendidikan pencegahan rasuah boleh dibuat melalui persatuan-persatuan ini.

“Paling penting mahasiswa sendiri perlu mempunyai nilai integriti dalam diri mereka. Nilai integriti ini boleh dicapai melalui kejujuran dalam menyiapkan tugas-tugas yang diberikan oleh pensyarah dan jujur dalam peperiksaan,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak awal usia lagi perlu diterapkan kebencian terhadap rasuah oleh ibu bapa dan guru.

Katanya, gejala rasuah kini berada di tahap yang sederhana kerana masih lagi wujud dan usaha untuk mencegah rasuah boleh ditambah baik.

Sementara itu, Amir berkata, seluruh mahasiswa sentiasa menyokong gerakan Rasuah Busters.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here