Home Rasuah Busters Kelemahan kepimpinan punca rasuah

Kelemahan kepimpinan punca rasuah

0
Kelemahan kepimpinan punca rasuah

SABAK BERNAM – Kelemahan kepimpinan dalam sesebuah organisasi dikenal pasti antara lima faktor utama rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penjawat awam berlaku di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia, Mohamed Rizal Muhd Tayab berkata, kepimpinan tidak menunjukkan tauladan yang baik punca rasuah berleluasa.

Menurutnya, gejala tidak sihat itu seharusnya ditangani dan dibanteras sekali gus jika mahu melahirkan pemimpin amanah dan berintegriti.

“Kita dapati kelemahan kepimpinan merencatkan kredibiliti penjawat awam malah ada dalam kalangan mereka seperti cakap tidak serupa bikin apabila terlibat dalam rasuah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau berkata, punca lain turut dikaitkan dengan amalan rasuah ialah kelemahan sistem organisasi, kelemahan individu, tidak mematuhi undang-undang organisasi dan kelemahan penguatkuasaan.

“Misalnya, sesebuah organisasi masih mengekalkan budaya lama seperti tidak peduli, mengampu, takut melaporkan sesuatu dan enggan melaporkan kesalahan atas sebab kepentingan diri sendiri walaupun menyalahi peraturan dan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, terdapat penjawat awam yang tidak telus dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang menyebabkan budaya itu terus menjadi barah dalam masyarakat.

“Kita dapati tiada kekemasan dalam struktur organisasi, matlamat tidak jelas serta pertindihan skop tugas struktur yang tidak selari dengan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata, apabila individu itu menerima jawatan sebagai pegawai awam pula, dua bentuk integriti harus ada dalam diri mereka seperti yang dinyatakan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) 2004 iaitu integriti dalaman individu dan integriti sebagai pegawai awam.

“Sebagai penjawat awam mereka perlu berintegriti dan boleh bertindak dengan prinsip moral, beretika dan mengikut undang-undang serta paling penting boleh membezakan antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.

“Di samping integriti, mereka seharusnya melaksanakan amanah dan kuasa yang diberikan atas kapasiti jawatan untuk kepentingan umum dan bukan kepentingan diri.

“Hampir setiap hari kita lihat di akhbar dan media baharu berkaitan tangkapan akibat rasuah, salah laku atau salah guna kuasa serta pecah amanah dalam kalangan penjawat awam.

“Bagi saya secara peribadi ia merupakan fenomena dan gambaran yang buruk terhadap sistem pentadbiran kita di mata awam dan pelabur luar,” katanya.

Menurutnya, penjawat awam harus mempunyai integriti dalam diri mereka sendiri dan juga integriti sebagai penjawat awam.

“Saya yakin jika faktor pengisian kerohanian dalaman diri pegawai dapat dimantapkan dan sistem organisasi dalam sesuatu jabatan serta penguatkuasaan terhadap struktur dalaman organisasi dapat dimantapkan, Insya-ALLAH budaya rasuah, salah guna kuasa dan dan pecah amanah dapat dibanteras,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here