SHAH ALAM – Rakyat terutama pengundi muda dinasihatkan untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memilih parti yang layak untuk memimpin negara.
Pempengaruh media sosial, Syed Umar Sadique Syed Ab Rahman atau dikenali sebagai Marc Sadique berkata, undi setiap rakyat adalah penting sekali gus memastikan kebajikan dan masa depan negara berada di pihak yang betul.
“Kepada pengundi berumur 18 tahun ke atas, ini peluang anda untuk membuktikan bahawa anda mampu memberikan impak kepada negara.
“Semasa zaman saya remaja, kita rasa suara kita tidak didengari jadi kenapa nak undi sebab mereka bukan tahu kita ini siapa dan kita rasa kita bukan sebahagian daripada negara.
“Jika kita betul sayangkan negara, ia tugas kita jalankan tanggungjawab untuk mengundi. Ini peluang untuk kita selamatkan Malaysia,” katanya.
Sadique berkata demikian ketika Program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Influencer Mampu Didik Belia dihoskan Asmaliza Mansor yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Ahad.
Sadique turut menyifatkan Undi18 yang dilaksanakan pada PRU15 kali ini adalah langkah terbaik dalam usaha mendidik golongan muda terhadap sikap bertanggungjawab.
“Ia kerana seawal boleh kita nak letakkan ‘mindset’ kepada pengundi muda untuk lebih bertanggungjawab.
“Kita sudah titipkan kepada mereka pentingnya undi, penting selamatkan negara dan untuk mencorakkan negara pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Sadique juga akan menggunakan peranannya sebagai pempengaruh untuk mengajak pengundi keluar mengundi nanti.
“Sebagai pempengaruh, kita kena gunakan kelebihan tersebut sebab tidak ramai orang boleh raih pengikut beribu atau berjuta orang.
“Jadi, saya sendiri akan sebarkan betapa pentingnya untuk mengundi kerana jika kita tidak keluar mengundi, seolah kita beri kemenangan mudah kepada parti tertentu,” katanya.