Home Rasuah Busters Jenayah rasuah bergantung kepada amanah, kelakuan individu

Jenayah rasuah bergantung kepada amanah, kelakuan individu

Jenayah rasuah bergantung kepada amanah, kelakuan individu

SHAH ALAM – Jenayah rasuah masih berleluasa dalam negara kerana ia bergantung kepada amanah dan kelakuan individu seseorang itu.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, jika seseorang itu tidak malu atau jijik untuk melakukan walaupun sekecil rasuah maka selagi itu ia akan berada dalam negara.

“Walau bagaimanapun ia bergantung kepada individu tersebut. Bagi saya, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada jalan agama.

“Setiap agama menyasarkan betapa pentingnya amanah kepada seseorang itu.

“jikalau seseorang itu tidak amanah, melakukan rasuah dan rakyat masih menerima orang seperti ini maka selagi itu rasuah akan berada dalam negara,” katanya dalam Kompas Rasuah Busters yang bertajuk Khianat Amanah Untuk Hidup Mewah pada Rabu.

Program tersebut turut menampilkan, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dan Herleena Pahlavy sebagai moderator.

Dalam pada itu, Azmi berkata, persepsi dan rasuah itu memang tidak dapat dipisahkan terutama dalam era media sosial.

“Ini terutama isu pembalakan, penerokaan tanah yang menyebabkan masyarakat akan mengaitkan dengan rasuah sejak berdekad lamanya.

“Sebab itu bila tular imej kayu balak di depan rumah itu ramai yang percaya kerana persepsi dah tertanam dalam otak kita,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, bagi isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, beliau seharusnya berjumpa dengan jawatankuasa Parlimen untuk menjelaskan isu tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa Parlimen seharusnya diberikan hak mereka untuk mendapatkan penjelasan daripada Azam.

“Jika orang nombor 1 SPRM Yang menjaga perlakuan rasuah itu dipandang serong, ini menimbulkan masalah persepsi negatif yang seharusnya dibuang secepat mungkin.

“Walaupun ada prosiding mahkamah, saya tidak nampak ia dikatakan boleh melanggar peraturan mahkamah itu untuk berjumpa dengan jawatankuasa terpilih Parlimen, kerana ia dianggap mewakili Parlimen dan Parlimen itu wakil rakyat yang mewakili keseluruhan rakyat.

“Jadi seharusnya persepsi negatif ini dibuang seboleh yang diminimumkan kerana kerana sekarang ini belum terungkai masalah ini kerana masih tertanya dan ini menyebabkan persepsi negatif dalam negara kita,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here