SHAH ALAM – Pihak berwajib sewajarnya menjelaskan status kerajaan care taker atau sementara yang sedia ada pada masa ini kepada masyarakat umum supaya tidak timbul sebarang spekulasi tidak baik dan tanggapan salah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, fungsi dan peraturan termaktub terhadap kerajaan sementara yang melibatkan kumpulan pemimpin sedia ada melaksanakan tugas harus diuar-uarkan kepada rakyat.
Menurut Nurhayati, situasi, fungsi dan limitasi tertentu yang boleh dijadikan garis panduan melibatkan pemimpin-pemimpin tersebut sewajarnya diperjelaskan supaya tidak berlaku pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan.
Katanya, sekalipun Parlimen telah dibubarkan dan urusan pentadbiran harian harus diteruskan, namun kriteria kerajaan sementara itu perlu dihebahkan kepada umum.
“Sama ada mengguna pakai Caretaker Convention 2021 atau suatu garis panduan tertentu, ia perlu diperjelaskan mengenai situasi, fungsi dan limitasi yang jelas bagi kerajaan sementara ini.
“Perkara ini amat penting dan perlu diketahui bagi menyekat sebarang bentuk salah urus dan penyalahgunaan kuasa yang memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada rakyat serta negara.
“Rasuah Busters percaya sebuah garis panduan harus diumumkan secara telus kepada rakyat agar The Do’s and Don’t’s dapat difahami, malah tindak tanduk pihak-pihak tertentu dapat dinilai dengan jelas dalam menentukan had-had keputusan yang benar-benar merangkumi rutin pentadbiran sahaja,” tegasnya kepada Rasuah Busters.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, garis panduan tersebut hendaklah memperjelaskan antara lain situasi keputusan-keputusan dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 ini termasuk perkara berkaitan dasar.
Kata beliau, jika terdapat keperluan keputusan dasar yang perlu dibuat, kesepakatan itu perlu dibincangkan bersama pembangkang.
Tambahnya, keputusan dasar melibatkan lantikan jawatan statutori atau jawatan penting, urusan pentadbiran awam yang telus dan non partisan serta larangan penggunaan fasiliti atau premis kerajaan bagi tujuan politik sewaktu menunggu pilihan raya seharusnya dilaksanakan dalam tempoh kerajaan sementara tersebut.
Jelas Nurhayati, sebarang tindakan pihak yang berada di dalam kerajaan sementara hendaklah dikawal agar ia tidak melangkaui fungsi sistem demokrasi berparlimen.
Beliau berkata, bagi kerajaan yang wujud secara sementara dalam tempoh menunggu sebuah kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya umum diadakan, perkara-perkara penting seumpama itu sewajarnya dinyatakan dengan jelas.
“Garis panduan yang perlu diumumkan ini juga bertujuan mengelakkan sebarang konflik kepentingan peribadi yang berkemungkinan mengundang perspektif negatif masyarakat.
“Rasuah Busters ingin menegaskan, sekalipun pentadbiran berada di bawah kerajaan sementara, penting untuk ia dilaksanakan dengan penuh berintegriti dan telus,” ujarnya.