Home Rasuah Busters Jelajah konvoi hebah jenayah rasuah

Jelajah konvoi hebah jenayah rasuah

0
Jelajah konvoi hebah jenayah rasuah

SHAH ALAM – Langkah Rasuah Busters menerusi program jelajah konvoi adalah langkah terbaik menyampaikan mesej tentang jenayah rasuah kepada masyarakat.

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak berkata, MCCF telah memperjuang dan menyuarakan berhubung isu rasuah sejak tahun 2015 pada awal penubuhannya.

Menurut beliau, apabila dijemput untuk menyertai Rasuah Busters bersama gabungan 470 badan bukan kerajaan (NGO), ia adalah langkah terbaik kerana suara gabungan NGO ini akan lebih berkesan daripada berjuang atas kapasiti bersendirian.

“Pandangan saya tentang program Konvoi #RasuahBusters, ia adalah langkah terbaik dalam usaha menyampaikan mesej yang kuat kepada rakyat dengan penglibatan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta, NGO dan rakyat sendiri.

“Saya mencadangkan agar kempen ini disebarluaskan ke semua pejabat-pejabat kementerian di Putrajaya dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di setiap negeri dengan program serta edaran bahan cetakan kempen Rasuah Busters,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, tambah Halim, MCCF telah menyediakan satu sistem psikometrik integriti sebagai satu penanda aras kecenderungan seseorang individu yang dijenamakan sebagai Rasuah Busters Tag (RBTag).

Katanya, itu merupakan satu initiatif tambah nilai dalam kempen Rasuah Busters.

“Harapan kita agar ia diterima pakai oleh pihak kerajaan untuk semua penjawat awam sebagai langkah mencegah berlakunya salah guna kuasa dan rasuah,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, Mohd Azwan Othman berkata, Silat Cekak ini dilahirkan atas dasar kesedaran ingin mendidik masyarakat melalui disiplin seni bina diri termasuk menjauhkan diri daripada perkara yang bercanggah dengan etika, integriti dan lain-lain.

Sehubungan itu, pihaknya melihat Rasuah Busters ini adalah satu usaha mulia untuk mendidik masyarakat agar mendapat kesedaran supaya menolak dan memerangi rasuah.

“Kalau kita tengok dulu semasa dadah jadi barah negara, kita didedahkan dengan pelbagai kempen benci dan perangi dadah. Maka, hari ini, rasuah pula jadi barah yang semakin merebak dalam negara.

“Usaha kempen ini perlu disokong di semua peringkat supaya ia jadi suara rakyat yang padu dan mahukan kemakmuran negara lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, sebagai salah satu seni bela diri silat Melayu dalam negara, pihaknya berharap semua seni bela diri lain turut sama berpadu untuk sokong usaha ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here