JOHOR BAHRU – Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rasuah Busters menerima sambutan meriah apabila 1,000 pelajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru menyertai program berkenaan pada Selasa.
Timbalan Ketua Unit Integriti MARA, Ahmad Zuriat Ahmad Tejuddin berkata, program kali ini merupakan edisi sulung di IPMA yang bermula di Johor dan akan menjadi pemangkin kepada penganjuran di seluruh negara pada masa hadapan.
**media[3235258]**
Menurut beliau, MARA mempunyai pelbagai institusi pendidikan seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJII) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang bakal menjadi lokasi siri jelajah seterusnya.
“Pendedahan nilai integriti sejak di bangku pengajian amat penting bagi memastikan generasi muda memahami peranan mereka dalam membina negara bebas rasuah.
“Golongan muda ini darahnya masih membara. Pada peringkat inilah mereka perlu didedahkan dengan nilai integriti supaya ia menjadi sebahagian daripada kehidupan dan amalan yang mereka praktikkan setiap hari.
**media[3235259]**
“Integriti perlu menjadi sebahagian daripada rutin mereka dan dijadikan amalan berterusan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui di Dewan IKM Johor Bahru.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKM Johor Bahru, Dr. Azurin Shukur.
Jelajah Antirasuah IPMA selama empat hari bermula Selasa akan diteruskan di Kolej Profesional MARA Bandar Penawar, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Sri Gading, dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin, berkata pendidikan bukan sekadar membekalkan ilmu dan kemahiran, malah menjadi benteng awal dalam melahirkan generasi berintegriti yang menolak rasuah sejak di bangku pengajian.
Jelasnya, kesedaran ini dapat dilihat melalui penglibatan hampir 1,000 pelajar dalam Program Jelajah Antirasuah di IKM Johor Bahru.
“Kita dapat lihat mereka memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk keluarga dan negara.
“Ada yang bertekad membalas jasa rakyat yang membiayai pendidikan mereka dengan berkhidmat secara bersih dan berintegriti,” katanya.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar IKM Johor Bahru, Nazhan Muhaimin Mohd Farid, 20, berkata penganjuran program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat mereka secara terbuka mengenai isu rasuah.
**media[3235260]**
“Ramai rakan saya berani tampil memberikan pandangan mengenai gejala rasuah yang perlu dihapuskan.
“Kami rasa bertanggungjawab untuk memahami bagaimana rasuah memberi kesan kepada masyarakat dan bagaimana kami boleh memainkan peranan membanterasnya,” katanya.
Bagi Aizaa Harisya Munjani, 19, pelajar Semester 3 Kursus Industri Siapan Logam di IKM Johor Bahru, pendedahan seperti ini membantu membentuk minda pelajar agar menghargai nilai kejujuran.
“Apabila integriti dipupuk sejak muda, insya-ALLAH kita akan menolak rasuah dan tidak mudah terpengaruh dengan amalan yang salah,” ujarnya.
**media[3235257]**
Sementara itu, Aiman Haris Pathul Rahman, 26, penuntut Diploma Kompetensi Elektrik Penjanaan di IKM Johor Bahru, berkata pendedahan awal mengenai rasuah mampu membina kefahaman pelajar terhadap kesan buruknya kepada negara.
“Program ini memberi gambaran jelas tentang realiti rasuah dan mengingatkan kami supaya sentiasa mengamalkan integriti dalam kerjaya kelak,” katanya.