Home Rasuah Busters Integriti bukan slogan, tapi benteng tolak rasuah

Integriti bukan slogan, tapi benteng tolak rasuah

0
Integriti bukan slogan, tapi benteng tolak rasuah
Integriti bukan sekadar dasar atau slogan, sebaliknya nilai yang tertanam dalam hati individu dan menjadi benteng utama menolak amalan rasuah. Foto kecil: Ahmad Fuad

SHAH ALAM – Integriti bukan sekadar dasar atau slogan, sebaliknya nilai yang tertanam dalam hati individu dan menjadi benteng utama menolak amalan rasuah.

Setiausaha Majlis Dakwah Negara (MDN) Kedah, Ahmad Fuad Ashari berkata, integriti yang lahir daripada keikhlasan hati akan membentuk tindakan yang betul.

“Integriti ini datang dari hati. Maknanya kalau integritinya betul insya-ALLAH apa pun yang dia buat akan betul.

“Orang yang ada integriti, tak kira rawak atau tidak rawak pemantauan, tetap tidak akan terlibat dengan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengukuhan sistem audit dan pemantauan dalaman hanya akan berkesan jika warga institusi itu sendiri memiliki integriti yang tinggi dan sedar tanggungjawab terhadap amanah.

Dalam konteks melawan rasuah secara menyeluruh, beliau turut menegaskan pentingnya perlindungan kepada pemberi maklumat agar mereka berani tampil ke hadapan tanpa takut dikenakan tindakan balas.

“Kalau tiada jaminan kerahsiaan, siapa berani tampil? Identiti pemberi maklumat mesti dirahsiakan dan dijaga sebaik mungkin, termasuk keselamatan mereka dan keluarga jika kes berprofil tinggi,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, pihak yang menerima maklumat juga perlu berintegriti kerana sebarang ketirisan boleh berbahayakan nyawa dan melemahkan usaha banteras rasuah dari dalam.

Mengulas keberkesanan latihan integriti dan pematuhan kod etika, beliau menjelaskan bahawa latihan tersebut membawa impak positif namun ia perlu dilakukan secara berterusan dan tidak bersifat bermusim.

“Jabatan yang terdedah kepada risiko seperti penguat kuasa perlu diberikan fokus khusus dalam pembudayaan integriti melalui latihan konsisten dan pemantauan berkala,” katanya.

Ahmad Fuad turut mengingatkan rasuah tidak hanya berlaku dalam kalangan penjawat awam, sebaliknya boleh wujud dalam semua sektor termasuk politik, swasta dan institusi agama jika tiada nilai integriti dalam diri.

“Kalau tiada hati yang ikhlas dan jujur, sesiapa pun boleh terjebak. Sebab itu integriti ini asasnya bukan di luar, tapi dalam diri setiap orang,” ujarnya.

Beliau menyokong usaha kerajaan menerusi gagasan Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada tatakelola dan ketelusan, serta menggesa agar perlindungan pemberi maklumat dijadikan agenda utama.

“Kalau kita mahu serius perangi rasuah, kita kena lindungi orang yang berani bersuara dan usaha ini perlu dijalankan oleh orang yang juga berintegriti,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here