SHAH ALAM – Institusi keagamaan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan menyeluruh dalam membanteras rasuah menerusi pendidikan, pemantauan moral serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, institusi seperti masjid dan jabatan agama merupakan medium penting dalam memberi penekanan tentang bahayanya rasuah kepada agama dan masyarakat.
“Pendidikan dan kesedaran awam mengenai haramnya rasuah perlu diperkukuh melalui ceramah, khutbah Jumaat serta program-program yang menekankan kesan buruk perbuatan ini terhadap agama dan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, institusi agama juga perlu membimbing masyarakat agar mengamalkan akhlak Islam dalam kehidupan seharian, termasuk dalam urusan kerja dan pentadbiran.
“Kita mesti membina budaya integriti dan amanah menerusi pengisian rohani berteraskan al-Quran dan Sunnah serta menjadikan kuliah dan kempen anti-rasuah sebagai pendekatan utama,” ujarnya.
Mohd Sukki menegaskan bahawa institusi agama tidak harus terpisah daripada realiti masyarakat dan perlu menunjukkan teladan melalui pentadbiran dalaman yang bersih dan bebas rasuah.
“Institusi agama juga perlu memberi nasihat dan teguran secara hikmah kepada pemerintah agar setiap dasar dan tindakan dilakukan dengan adil serta telus,” katanya.
Menurutnya, tekanan moral daripada pihak institusi agama mampu memberi kesan kepada pembuat dasar dan pihak berkuasa dalam usaha membanteras rasuah secara tegas tanpa kompromi.
“Apabila institusi agama bersuara atas prinsip agama, ia memberi kekuatan moral dan kesedaran kepada masyarakat serta pemimpin,” katanya lagi.
Mohd Sukki berkata, kerjasama strategik antara institusi agama dan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diperluaskan.
“Kerjasama dalam bentuk kempen bersama dan dasar berasaskan nilai agama boleh memperkukuh usaha pencegahan rasuah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa rasuah bukan sekadar isu undang-undang, tetapi merupakan isu akidah dan keimanan yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Institusi agama perlu berada di barisan hadapan dalam menangani rasuah kerana mereka berperanan membentuk jiwa, akhlak dan kesedaran moral umat,” katanya.
Tambah beliau, keberkesanan usaha membanteras rasuah memerlukan sinergi antara kekuatan spiritual dan tindakan undang-undang secara bersepadu.