Home Rasuah Busters Insentif khas benteng elak rasuah di sempadan

Insentif khas benteng elak rasuah di sempadan

0
Insentif khas benteng elak rasuah di sempadan
Laporan Sinar Harian berhubung SPRM cadang insentif khas untuk pegawai AKPS bertugas di sempadan. (Gambar kecil: Abdul Hakim)

SHAH ALAM – Cadangan pemberian insentif khas kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di sempadan negara disifatkan wajar dan mampu menjadi pelindung moral bagi mengurangkan risiko rasuah akibat tekanan ekonomi serta godaan pihak berkepentingan berniat jahat.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, langkah itu perlu diiringi dengan latihan integriti, pengawasan operasi bersepadu dan kerjasama antara agensi bagi memastikan keberkesanannya.

Menurutnya, cadangan tersebut merupakan langkah strategik dan berpandangan jauh dalam memperkukuh ketahanan keselamatan negara serta integriti barisan hadapan.

“Kawasan sempadan Malaysia merupakan pintu masuk utama yang terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

“Fakta sejarah menunjukkan bahawa kelonggaran integriti di sempadan boleh membuka ruang kepada peningkatan kadar jenayah rentas sempadan, menjejaskan kedaulatan negara dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar insentif khas diperkenalkan kepada pegawai AKPS yang bertugas di sempadan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata insentif tersebut boleh menjadi dorongan serta motivasi kepada pegawai barisan hadapan untuk melaksanakan tugas dengan lebih bersemangat dan berintegriti tinggi.

Justeru, Abdul Hakim menambah, pemberian insentif itu bukan sahaja wajar, malah boleh menjadi pelindung moral yang mengurangkan risiko rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here