Assalamualaikum wrt wbh, dan Salam Sejahtera Rakyat Malaysia yang saya kasihi,
Saya ingin mengajak untuk kita merenung sejenak, apakah erti seorang ibu buat diri kita; wanita yang melahirkan kita ke dunia, yang kita panggil MAK, AMMA, MAMA atau apa sahaja.
Buat saya dan mungkin ramai di antara kita juga, mak adalah seorang wanita istimewa di hati kita. Mereka menyayangi kita tanpa syarat. Setelah kita dewasa dan mampu berdiri sendiri, kasih sayangnya tidak pernah pudar. Dia akan terus menyokong dan mengawasi kita hingga akhir hayat. Mak akan ada di kala senang mahupun sedih. Mak jugalah yang akan membantu kita saat kita jatuh. Di sebalik diamnya, ada doa yang tersimpan untuk kita.
Sayangnya tidak semua anak memahami akan erti kasih seorang mak. Terkadang perkataan dan perbuatanmu kerap membuatnya terluka. Namun buat seorang mak, rasa cintanya lebih besar dibanding marahnya. Dia tak mengenal benci pada anak yang teramat dicintai. Pesannya kepada anak untuk jauhi keburukan, dekati kebaikan adalah tanda kasih sayangnya yang melaut kepadamu. Pesannya untuk “jangan itu dan jangan ini” adalah peringatan keramat buat seorang anak.
Kerap kali ada perkataan dan nasihat mak untukmu. Hanya untuk anaknya tersayang, belahan jiwanya. Jadilah anak yang berbakti dengan mendengar kata-kata dari Mak.
Justeru, bermula 1 Mac 2021 dalam mendukung misi #RasuahBusters, saya ingin mengajak dan menyeru seluruh rakyat, melihat kembali harapan dan kepercayaan ibu terhadap kita semua dengan membangun #NilaiMoralKarakterBangsa Malaysia melalui kempen ‘MAK KATA JANGAN’.
‘MAK KATA JANGAN’ KEMPEN NASIONAL OLEH #RASUAHBUSTERS
Kejayaan membina semula negara Malaysia yang bersih rasuah tentunya tidak terpisah dari ibu yang bijak berperanan. Tetapi harus diingat pengiktirafan dan penghormatan si anak kepada ibunya juga menjadi faktor besar yang mendorong wujudnya kehidupan yang terbaik untuk sesiapa pun juga. ‘Mak Kata Jangan’ meletakkan posisi ibu sebagai individu yang sentiasa berpesan agar anaknya tidak menghampiri kepada perkara-perkara yang memudaratkan apatah lagi perlakuan jenayah yang merosakkan maruah diri dan keluarga.
Apa itu KEMPEN ‘MAK KATA JANGAN’?
‘MAK KATA JANGAN’ merupakan kempen di peringkat nasional yang pertama diinisiatifkan oleh #RASUAHBUSTERS dalam usaha membanteras rasuah di Malaysia.
Bahan utama kempen:- 3 video klip berbahasa Melayu, Tamil dan Kantonis yang disokong oleh bahan-bahan kempen lain di dalam bentuk e-poster dan meme.
Teras utama kempen: Rakyat Malaysia yang prihatin dan mengambil peduli tentang pentingnya membanteras rasuah dan turut bersama-sama menyebarkan dan mempromosikan video dan apa saja bentuk material sokongan kepada seberapa ramai yang boleh demi mewujudkan sebuah rantaian yang akan memberikan impak kepada pembasmian rasuah di negara ini.
Platform utama: Kesemua landasan media baru dan lama. Kita akan jadikan ia viral!
MENGAPA ‘MAK KATA JANGAN’?
Dua sebab utama
Ibu adalah amat istimewa. Mereka sanggup mengorbankan segala kemahuan sendiri demi memenuhi kehendak kita. Kita tidak perlu bersusah payah mendapatkan kasih dan sayang seorang ibu. Seorang ibu mengasihi anaknya tidak kira siapa mereka, kaya atau miskin atau apa pun jua keadaannya. Walaupun mereka marah, kemarahan itu keluar dari kemurnian hati mereka dan atas dasar ambil berat terhadap kita. Ibu adalah insan terakhir yang kita ingin kecewakan.
Kami ingin menjadikan ‘Mak Kata Jangan’ sebagai budaya dan rutin dalam kita mencegah diri dari mengambil atau memberi rasuah kebiasaan. Sebaik berdepan dengan peluang dan kemungkinan melakukan salah laku rasuah, ingatkan diri kita bahawa ‘Mak Kata Jangan’. Bukan sekadar itu, ‘Mak Kata Jangan’ juga boleh menjadi peringatan kita kepada orang lain sekiranya mereka pula ditawarkan dengan rasuah.
BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU KAMI DALAM KEMPEN ‘MAK KATA JANGAN’?
Jemput keluarga dan sahabat anda untuk bertindak:-
Viralkan seluas dan sebanyak mungkin 3 video dan semua bahan-bahan kempen yang anda peroleh.
Hasilkan karya anda sendiri sama ada video, poster, mems dan apa saja mengikut kreativiti anda menggunakan ‘Mak Kata Jangan’. Dapatkan bahan-bahan tersebut di www.MakKataJangan.com atau www.rasuahbusters.com.
Gunakan tanda pagar #RasuahBusters dan #MakKataJangan.
TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN MAMPU MENGGONCANG DUNIA.
Ini bukan retorik yang sengaja dinyanyikan oleh setiap bangsa atau agama. Ibu berperanan besar sebagai guru pertama bagi setiap anak. Tanpa kita sedari, sebahagian kita tidak lagi mengambil berat tentang peranan sebagai seorang ibu. Kita juga gagal mengiktiraf ibu sebagai watak penting yang memandu dan membina jati diri bangsa. Sudah sampai masanya dalam kesibukan dunia tanpa sempadan ini, kita menjulang kembali peranan dan pengiktirafan kepada insan bernama ibu. Masa depan negara ini terasnya turut dijulang dengan penghayatan sistem nilai yang diterapkan oleh ibu secara langsung dan tidak langsung. Tentangan terhadap wabak rasuah ini kita laksanakan dengan meletakkan ibu sebagai ikon penting dan peringatannya sebagai sumber kekuatan diri mencegah diri dari meneruskan jenayah rasuah.
Rakyat Malaysia yang inginkan perubahan,
Saya percaya untuk pertama kali, pengukuhan dan penghormatan terhadap martabat ibu dibawakan sebagai teras penting dan sebahagian daripada misi transformasi dan menyelamatkan negara yang kita cintai dari kereputan nilai dan moral. Saya mempunyai keyakinan penuh penegasan agama yang kita anuti terhadap tingginya penghormatan terhadap ibu mempunyai dasar dan kredibiliti besar dalam pembinaan generasi yang mampu membina ataupun meruntuhkan negara.
Untuk itu,bersempena pelancaran ‘Mak Kata Jangan’, Sinar Harian turut mengambil inisiatif melaksanakan program Talk Show yang insya-ALLAH akan dimulakan pada Hari Wanita Sedunia iaitu 8 Mac 2021 bersama Tokoh Ibu. Program ini kami rangka akan berlangsung dua kali setiap bulan. Program Wacana Sinar Harian juga akan diteruskan dengan menampilkan panelis yang akan mengupas isu rasuah dalam usaha mencari solusi kepada permasalahan ini. Inisiatif lain akan turut diadakan dari masa ke masa.
Demi kebersamaan ini, saya juga mengalu-alukan ke semua pihak agar turut mengambil peranan di atas kapasiti masing-masing untuk menyebarluaskan ‘Mak Kata Jangan’ dari peringkat keluarga hinggalah organisasi tertinggi agar ia benar-benar menjadi sempadan dan penghalang kepada sebarang bentuk perlakuan korupsi.
Pembasmian rasuah adalah sebuah perjalanan yang panjang. Matlamat utama kita adalah mewujudkan tabiat dan budaya nasional baharu melalui standard etika dan nilai-nilai moral tertinggi dengan menumpukan kepada punca berlakunya wabak rasuah. ‘Mak Kata Jangan’ merupakan kempen pertama kita bersama. Ia tidak akan menjadi yang terakhir. Bersama kita bina Malaysia yang lebih baik!
Ayuh!
Walau siapa pun kita, individu atau kumpulan, sematkan sekali lagi di dalam hati nurani kita, apabila datang tawaran tidak kira kecil atau besar amaunnya, ketika datang nafsu yang meronta-ronta ingin menjadi kaya serta-merta, ketika terlintas hasrat untuk menyeleweng atau ketika peluang rasuah terhidang dan memukau mata, ingatlah..
“Mak Kata Jangan…”
Terima kasih
* Hussamuddin Yaacub, Ketua Pasukan #RasuahBusters Central Team Kuala Lumpur