SHAH ALAM – Individu yang ditawarkan dengan sebarang bentuk rasuah perlu berani menolak dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi memutuskan transaksi tidak bermoral tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin berkata, penerima rasuah mempunyai kuasa penuh untuk menolak serta menghentikan perbuatan berkenaan.
“Walaupun pemberi datang dengan pelbagai bentuk tawaran, perbuatan rasuah tidak akan berlaku sekiranya penerima bertegas menolak.
“Justeru, perbuatan rasuah tersebut akan berhenti. Selepas tolak tawaran rasuah itu, maka segera laporkan,” katanya ketika menjadi panel dalam Forum Khas #RuangBelia: Dari Tahu ke Tindak – Lawan Rasuah! yang berlangsung di Karangkraf di sini pada Jumaat.
**media[3198492]**
Forum itu turut menampilkan Izzat Afifi Abdul Hamid sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa tindakan untuk menolak rasuah bukanlah perkara mudah, apatah lagi apabila ia dilakukan secara terbuka.
Justeru, katanya, gerakan seperti Rasuah Busters diwujudkan bagi menyatukan usaha rakyat agar tidak berjuang secara bersendirian.
“Sistem yang menolak rasuah itu perlu diwujudkan dan ia bukan kerja seorang-seorang sebaliknya memerlukan kerjasama semua orang,” menurutnya lagi.
Norhayati turut menzahirkan rasa bangga terhadap golongan belia hadir dalam program antirasuah seperti forum khas itu sebagai simbolik kepada sokongan dan kesedaran terhadap isu intergriti.