RAMAI menyuarakan rasa kagum kepada negara China kerana menjatuhkan dan melaksanakan hukuman mati ke atas pegawai kerajaan disabit kes rasuah, malah ada cadangkan kita harus contohi negara itu.
Menariknya ini termasuk sesetengah rakan Melayu yang biasanya kritis terhadap China dan juga sesetengah profesional berpendidikan Barat dan biasanya berpandangan liberal.
Rasa kagum kepada China mencerminkan kekecewaan kita terhadap rasuah yang berleluasa di Malaysia.
Apabila buaya besar bermaharajalela di bumi kita, kita tumpang bersorak lihat biawak dipanggang di bumi lain.
Akan tetapi, benarkah hukuman mati mencegah gejala rasuah di China? Malangnya tidak.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Transparency International, China menduduki tempat ke-78 paling kotor dalam kalangan 180 negara yang diselidik.
Sebagai bandingan, Malaysia yang tiada hukuman mati untuk pesalah rasuah mencapai tempat ke-57 dalam kata lain, 21 tempat di depan China.
Yang lebih menarik lagi antara 10 negara paling bersih, New Zealand dan lapan negara Eropah (Denmark, Finland, Sweden, Switzerland, Norway, Belanda, Jerman dan Luxemburg) langsung tiada hukuman mati. Satu-satunya negara Timur, Singapura yang mencapai tempat ketiga mempunyai hukuman mati tetapi tidak menggunakannya untuk rasuah.
Mengapa China gagal mencegah rasuah dengan hukuman mati, tetapi negara-negara lain boleh mencegah rasuah tanpa hukuman mati?
Di peringkat masyarakat, berleluasan rasuah atau tidak banyak bergantung kepada pembangunan ekonomi, agihan kekayaan dan sistem politik.
Kesemua sepuluh negara yang paling bersih adalah negara maju dan kecuali Singapura tiada jurang kekayaan besar kecuali Singapura, semua adalah demokrasi pelbagai parti yang mampan.
Sebaliknya, sepuluh negara paling kotor iaitu Sudan Selatan, Somalia, Syria, Yemen, Venuzuela, Sudan, Guinea Khatulistiwa, Libya, Korea Utara dan Haiti adalah negara yang miskin dan tidak sama rata dan juga mengalami pemerintahan kuku besi, peperangan atau krisis politik.
Di peringkat peribadi, perhitungan untuk melakukan rasuah bergantung kepada tiga faktor iaitu ganjaran, hukuman dan kebarangkalian dihukum.
Hukuman
Kegagalan China untuk membanteras rasuah bukan kerana hukuman tidak berat, tetapi kerana ganjaran rasuah besar dan kebarangkalian dihukum rendah. Kedua-duanya berkaitan dengan sifat China sebagai negara satu parti.
Kerajaan China mempunyai kuasa besar kerana tiada pembangkang, tiada NGO yang melantang dan tiada media yang bebas. Maka, sekalipun jika pemimpin negara bersih, pemimpin di peringkat provinsi, tempatan dan GLC mempunyai kuasa besar untuk dapatkan ganjaran besar melalui rasuah.
Masalah lebih besar ialah China tiada mempunyai badan pendakwaan dan badan penghakiman bebas. Pegawai didakwa dan dihukum hanya setelah mereka hilang kuasa, sesetengah memang kerana rasuah, sesetengah hanya setelah gagal dalam perebutan kuasa.
Maka, usaha membanteras rasuah sering dilihat sebagai tindakan pemerintah untuk memperluaskan kuasa dan menghapuskan pesaingnya. Ini membenihkan persepsi sinis – rasuah boleh ditoleransikan selagi berada dalam kem yang betul.
Lebih-lebih lagi, China mempunyai tradisi ribuan tahun yang menjaga maruah pegawai tinggi.
Sejak 2012, baru seorang pegawai berpangkat timbalan menteri – Lai Xiao-Ming pada Januari lalu dijatuhkan hukuman mati kerana rasuah. Tidak bersalah selagi berkuasa? Undang-undang lain untuk dua darjat? Tidak kita juga kenali gejala ini di tanah air kita?
Kalau kita ingin mengejar New Zealand, Singapura dan negara-negara Eropah dan bukan menjadi jiran China di CPI, apa yang kita perlukan bukanlah hukuman mati untuk perasuah, tetapi kebebasan media dan juga SPRM dan badan Pendakwaraya yang benar-benar bebas.
Seruan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mewujudkan badan Pendakwaraya yang berasingan daripada Jabatan Peguam Negara harus disahut oleh semua pihak yang bencikan rasuah.
Ramai yang sudah membuat seruan sebelum ini, tetapi seruan beliau signifikan kerana beliau pemimpin kanan sebuah parti kerajaan dengan 38 kerusi di parlimen.
Kalau tangan rasa kebas
Boleh cari Pak Din urut
Kalau Pendakwa Raya bebas
Rasuah sudah pasti surut.
* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen