Home Rasuah Busters Hampir 3,000 penjawat awam ditahan terima rasuah sejak 2015 – SPRM

Hampir 3,000 penjawat awam ditahan terima rasuah sejak 2015 – SPRM

0
Hampir 3,000 penjawat awam ditahan terima rasuah sejak 2015 – SPRM
SPRM dedah seramai 2,965 penjawat awam ditahan kerana menerima rasuah sejak 2015, menjadikan mereka kumpulan paling tinggi terlibat berbanding sektor lain. Foto hiasan

SHAH ALAM – Penjawat awam didapati kumpulan terbesar yang terlibat dalam kes menerima rasuah iaitu seramai 2,965 orang yang telah ditahan antara 2015 hingga 30 Jun tahun ini berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dapatan itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi satu jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini.

Azalina berkata, sebanyak 47 kes tangkapan dalam konteks memberi rasuah pula direkodkan melibatkan kategori penjawat awam dalam tempoh sama.

Selain itu, menurutnya, seramai 119 individu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan kerana menerima suapan, manakala 64 lagi kerana memberi rasuah.

“Bagi sektor swasta pula, seramai 1,101 individu ditahan kerana menerima, manakala 511 lagi kerana memberi rasuah.

“Ahli politik pula berada di kedudukan paling bawah, apabila SPRM merekodkan hanya 31 orang ditahan kerana menerima rasuah dan enam lagi kerana menawarkannya.

“Bagi kategori orang awam pula, 680 individu ditahan kerana menerima manakala 1,061 lagi disyaki cuba memberi rasuah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin yang meminta statistik pemberi dan penerima rasuah mengikut pecahan kaum, kumpulan umur serta sektor pekerjaan sejak 10 tahun lalu hingga kini.

Azalina turut memaklumkan, sejumlah 4,896 individu ditahan kerana menerima rasuah dengan pecahan orang Melayu mencatatkan 3,690 kes, diikuti Cina (494), kaum lain (449) dan India (263).

Bagi kes memberi rasuah pula, katanya, jumlah tangkapan seramai 1,689 orang dengan pecahan kaum Cina (630), kaum lain (518), Melayu (390) dan India (151).

“Pecahan mengikut umur pula, seramai 2,603 individu berusia 40 tahun ke bawah ditahan kerana menerima rasuah, diikuti 41 hingga 60 tahun (2,097) dan 61 tahun ke atas (196).

“Bagi pemberi rasuah, kumpulan umur 40 tahun ke bawah sekali lagi mencatatkan jumlah tertinggi dengan 981 tangkapan, diikuti 41 hingga 60 tahun (622) dan 61 tahun ke atas (86),” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here