KUALA LUMPUR – Amalan rasuah di Malaysia kini bukan lagi isu terpencil, malah telah berkembang menjadi barah yang menular dari lapisan tertinggi pentadbiran hingga ke peringkat akar umbi.
Menurut Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah, antara punca utama yang mendorong perlakuan rasuah ialah kelemahan penguatkuasaan dan ketelusan prosedur khususnya dalam sektor awam serta swasta.
Katanya, kurangnya pemantauan dalaman serta tindakan undang-undang yang tidak konsisten membuka ruang luas kepada penyalahgunaan kuasa.
“Ada juga yang memberi alasan tentang gaji tidak setimpal dengan tanggungjawab menjadikan ‘duit kopi’ sebagai jalan pintas bagi menampung kos sara hidup.
“Begitu juga sikap tamak haloba sebahagian individu disebabkan mahu gaya hidup mewah tanpa mengikut kemampuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Nor Halmey berkata, lebih merisaukan apabila wujud bentuk rasuah yang sukar dikesan seperti balasan jasa kemudian hari (quid pro quo), bayaran melalui proksi atau konsultan palsu serta rasuah yang disalurkan secara halus atas nama adat atau tolong-menolong.
Dalam menghadapi ancaman itu, Dr Nor Halmey menegaskan peranan institusi pendidikan amat penting bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Universiti khususnya, perlu memperkukuh budaya integriti melalui modul berasaskan realiti dan isu semasa, libatkan pelajar dalam simulasi kes rasuah atau perkukuh pendidikan sivik dengan melibatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan bukan kerajaan dan bekas pesalah rasuah sebagai sesi interaktif,” jelasnya.
Beliau turut menyeru generasi muda agar tidak menormalisasikan rasuah dalam apa jua bentuk walau sekecil mana.
“Jangan anggap duit kopi, token atau budi bicara itu perkara biasa. Ini semua adalah benih kepada jenayah yang lebih besar,” katanya lagi.