SHAH ALAM – Sesiapa yang terjebak dengan rasuah sebenarnya sanggup menggadaikan amanah dan nilai diri semata-mata demi habuan duniawi, sekali gus mencemarkan maruah serta masa depan mereka sendiri.
Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad berkata, prinsip asas seperti kejujuran, tanggungjawab dan takut kepada Tuhan sering diketepikan apabila seseorang memilih jalan singkat itu.
“Lama-kelamaan, individu yang terbiasa dengan rasuah akan hilang arah, sanggup menipu, menindas dan membelakangi hukum halal haram demi kepentingan peribadi.
“Lebih malang, sekali nama tercemar dengan rasuah, amat sukar untuk pulih. Kepercayaan orang sekeliling hilang, reputasi menjunam dan kerjaya boleh hancur begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau menegaskan, rasuah bukan sahaja merosakkan maruah, malah turut memusnahkan masa depan seseorang baik di dunia mahupun di akhirat.
Tambahnya, gejala itu juga menggugat kesejahteraan masyarakat apabila hak dan peluang tidak lagi diberikan berdasarkan kelayakan, sebaliknya ditentukan oleh ‘duit bawah meja’.
“Akibatnya, yang benar-benar layak diketepikan, manakala yang pandai membodek pula diangkat. Lama-kelamaan, jurang kaya dan miskin semakin melebar, sementara rasa tidak puas hati membuak dalam kalangan rakyat,” jelas beliau.
Katanya lagi, apabila pemimpin atau penjawat awam terbabit dalam rasuah tanpa dikenakan tindakan tegas, rakyat akan mula hilang keyakinan terhadap sistem sedia ada.
“Dari situlah lahirnya budaya sinis, orang malas keluar mengundi, hilang harapan dan tidak peduli lagi kepada soal kebenaran. Akhirnya, negara mundur dari segi ekonomi, sosial serta politik,” ujarnya.
Mohamad Zaidin turut memberi peringatan bahawa keselamatan negara boleh tergadai sekiranya anggota keselamatan seperti polis, tentera atau imigresen menerima rasuah.
“Bayangkan sempadan negara dibiarkan longgar. Penjenayah, pengganas dan sindiket jenayah boleh keluar masuk sesuka hati. Bila keselamatan digadai, negara jadi sasaran mudah kepada anasir luar,” katanya.
Beliau menegaskan, jika rasuah turut mencengkam sistem kehakiman, penjenayah akan bebas berkeliaran manakala undang-undang hanya terpakai kepada golongan bawahan.
“Apabila keadilan boleh dibeli, rakyat hilang kepercayaan dan mula bertindak ikut suka. Dari situlah lahirnya ketidaktentuan dan kekacauan,” tegasnya.