SHAH ALAM – Hadiah yang diberikan kerana kedudukan atau tugas rasmi boleh bertukar menjadi rasuah dan hukumnya adalah haram di sisi Islam.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, pemberian hadiah adalah harus jika dilakukan secara ikhlas dan tidak mempunyai kaitan dengan kuasa atau jawatan seseorang.
Bagaimanapun, katanya, jika hadiah itu bertujuan mendapatkan manfaat, keistimewaan atau mempengaruhi keputusan ia sudah termasuk dalam kategori rasuah dan berdosa besar.
“Dalam Islam, ukuran utama ialah niat pemberian serta konteks penerimaan. Jika hadiah itu mengganggu amanah tugas rasmi, maka ia sama sahaja dengan rasuah.
“Segala harta yang diperoleh daripada jalan rasuah adalah haram, sama ada disimpan mahupun dibelanjakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, panduan agama jelas membezakan hadiah ikhlas dengan hadiah yang menjerumus kepada rasuah.
“Hadiah ikhlas adalah harus jika tidak ada kaitan dengan jawatan. Tetapi jika pemberian dibuat kerana kuasa, untuk mengkhianati amanah atau mendapat kelebihan tertentu, maka hukumnya haram,” katanya.
Zairudin turut menekankan peranan komuniti agama bersama Rasuah Busters dalam memberi kesedaran di peringkat akar umbi.
“Usaha membanteras rasuah perlu bergerak dari dua arah iaitu daripada pemimpin yang menunjukkan teladan integriti serta masyarakat yang dididik dengan ilmu agama dan nilai moral.
“Apabila hadiah berunsur rasuah dilihat sebagai dosa besar dan bukan lagi norma biasa, barulah perubahan budaya dapat berlaku di peringkat bawah,” katanya.
Beliau menambah, imam, khatib dan asatizah boleh menjelaskan hukum rasuah beserta dalil al-Quran dan hadis selain memberi kesedaran mengenai azab menanti pelaku rasuah.
“Pemimpin Muslim dan penjawat awam perlu berani menolak hadiah mencurigakan. Pada masa sama, program kesedaran di masjid, surau, sekolah dan universiti wajar diperkasakan agar masyarakat lebih celik terhadap bahaya rasuah,” katanya.