Home Rasuah Busters Didikan agama perlu tekan jijik rasuah

Didikan agama perlu tekan jijik rasuah

0
Didikan agama perlu tekan jijik rasuah

SHAH ALAM – Setiap individu perlu mendidik diri merasa jijik dan menganggap perbuatan rasuah itu seperti memakan daging tidak halal.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, sistem pendidikan agama perlu menerapkan kepada generasi muda terutama umat Islam bahawa amalan rasuah itu jijik seperti memakan daging yang tidak halal.

“Kenapa kita tak diajar untuk jijik terhadap perlakuan rasuah?

“Apa guna kita sebarkan syiar Islam tapi rasuah kekal kental? Negara juga akan lebih maju dan rakyat lebih sejahtera jika rasuah tiada,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, kejatuhan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan reformasi rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 tidak berkesan kerana kedudukan negara menjadi makin parah.

Tegas beliau, kejatuhan tersebut boleh memberi kesan terhadap reputasi negara dan perspektif pelabur luar dalam melihat sistem pentadbiran yang tidak setelus dulu.

“Mana-mana negara yang dibelenggu rasuah biasanya akan mundur seperti kebanyakan negara di Afrika.

“Jadi bagaimana kita hendak mencapai taraf negara maju jika indeks tersebut menunjukkan negara semakin dibelenggu rasuah?” soalnya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hazmi berkata, pentadbir yang mengamalkan rasuah perlu dihukum dengan berat seperti hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup atau yang sama berat dengannya.

“Ini perlu bermula daripada pegawai paling atas seperti ketua setiausaha negara dan perdana menteri.

“Mengapa perlu ada menteri dan timbalan menteri yang ramai jika pentadbiran tidak dapat dijalankan dengan baik?

“Saya rasa wakil rakyat (ahli politik) dan pegawai kerajaan perlu bekerjasama dalam membanteras rasuah dari peringkat atas ke bawah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here