SHAH ALAM – Pengundi di Malaysia perlu dididik untuk memilih ahli Parlimen atau wakil rakyat yang benar-benar berkualiti, kompeten dan berintegriti sebagai salah satu usaha reformasi pilihan raya.
Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin berkata, ahli Parlimen yang menonjolkan sifat-sifat tersebut diyakini mampu meningkatkan mutu perbahasan dalam Parlimen.
“Pendidikan pengundi penting supaya mereka memilih wakil yang kompeten dan berintegriti tinggi, bukannya yang menyogok duit atau hanya pandai senyum untuk mengambil hati, tetapi yang boleh membawa aspirasi dan suara rakyat ke dalam Parlimen.
“Kita perlukan ahli Parlimen yang kompeten yakni boleh menguasai subjek tentang isu semasa, antarabanga, rajin membaca dan petah serta pandai memberikan hujah.
“Bukan hanya berbahas dengan emosi tetapi berdasarkan fakta dan dalil yang sahih supaya perbahasan tersebut menjadi lebih mendalam serta memberi kesan kepada penggubalan dasar polisi yang boleh membawa masyarakat dan negara ke mercu lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Reformasi Parlimen Penentu Kestabilan Negara’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis ialah Mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut tentang reformasi pilihan raya, Badlishah Sham menjelaskan, negara perlu melaksanakan penguatkuasaan tentang had belanja oleh calon dalam pilihan raya.
“Kita sedia maklum, had belanja adalah RM200,000, tetapi ada calon yang membelanjakan lebih daripada itu. Malah jutaan ringgit apabila bertanding.
“Kami dalam konsortium pasukan Rasuah Busters ada berjumpa dengan ahli Parlimen dan ada yang menyatakan mereka hanya membelanjakan lebih kurang RM50,000 atau RM37,000 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mereka menang.
“Tidak perlu berbelanja sampai jutaan ringgit sebab mereka bukan nak beli undi, mereka hanya nak mewakili rakyat dengan ikhlas dan membawa suara rakyat dalam Parlimen,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Politik #MalaysiaTanpaRasuah turut menuntut supaya pilihan raya pecat atau ‘recall election’ digubal dalam Parlimen untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi itu sendiri.
“Khabarnya sekarang ini, usul yang ingin dibawa oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sudah tamat tempoh dan kami difahamkan satu versi baharu yang telah dimodifikasikan bakal diusulkan dalam sesi Parlimen akan datang.
“Ini supaya kita dapat menghidupkan budaya menghormati keputusan rakyat. Maknanya kalau seorang wakil rakyat telah dipilih berdasarkan janjinya kepada rakyat, maka dia tidak boleh mengkhianatinya.
“Kalau dia mengkhianati janji tersebut, dia perlu menghadapi ‘recall election’ seperti mana yang dituntut oleh pasukan Rasuah Busters. Kita nak kembalikan semula ketelusan dan keikhlasaan seseorang wakil rakyat,” jelas beliau.