Home Rasuah Busters Didik dengan lebih agresif berkaitan banteras rasuah

Didik dengan lebih agresif berkaitan banteras rasuah

0
Didik dengan lebih agresif berkaitan banteras rasuah

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menyediakan satu modul pembelajaran anti rasuah kepada pelajar sekolah dan universiti agar gejala tersebut dapat dibendung dengan lebih awal secara agresif.

Ketua Jawatankuasa Aktivisme Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Muhammad Iqmal Haziq Nasharuddin berkata, perkara tersebut perlu untuk dilakukan agar anak muda tidak terjebak dengan perbuatan itu.

Menurutnya, meskipun peratusan remaja dan belia untuk terlibat dengan rasuah agak rendah, namun pembelajaran awal amat diperlukan bagi kegunaan pada masa hadapan.

“Semestinya paling penting adalah kena mula dengan akar terlebih dahulu.

“Kita perlu didik generasi muda untuk faham apa itu rasuah. Bagaimana rasuah boleh menyebabkan sesuatu institusi negara ini runtuh dan lumpuh.

“Kita juga perlu beritahu apakah hukuman yang akan diberikan kepada seseorang jika mereka terlibat dengan salah laku rasuah. Beri peringatan awal kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, golongan remaja dan belia juga perlu bertanggungjawab dalam mencegah gejala rasuah ini daripada terus berleluasa dan menyebabkan kerugian negara.

“Belia perlu faham bahawa amalan rasuah ini sangat keji di sisi undang-undang. Belia juga bukan sekadar kena menolak rasuah, tetapi perlu mendidik rakyat lain untuk mencegah rasuah agar ia lebih efisien.

“Sekarang ini, ramai yang mengikut dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Jadi, belia boleh menggunakan konsep ini dengan mempengaruhi rakan-rakan lain agar tidak terlibat dengan budaya rasuah,” ujarnya.

Tambah Muhammad Iqmal, ia perlu dibendung memandangkan rasuah telah sinonim dengan Malaysia akibat daripada gejala itu sering dilakukan oleh pelbagai pihak demi kepentingan diri sendiri.

“Rasuah telah berlaku tidak kisah dekat mana peringkat sekalipun. Ia boleh dikatakan satu penyakit yang susah untuk diberi penawar.

“Gejala ini menyebabkan banyak perkara berubah contohnya perubahan tingkah laku seseorang itu. Terbukti juga bahawa rasuah memberi kesan buruk terutama kepada negara kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here