Home Rasuah Busters CPI: SPRM kenal pasti strategi baharu perangi rasuah, fokus libat urus dan teknologi

CPI: SPRM kenal pasti strategi baharu perangi rasuah, fokus libat urus dan teknologi

0
CPI: SPRM kenal pasti strategi baharu perangi rasuah, fokus libat urus dan teknologi
Shamsul Azri ketika mempengerusikan mesyuarat CPI pada Selasa.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah mengenal pasti beberapa strategi pembaharuan penting bagi membincangkan status pelaksanaan inisiatif dan memperbaiki prestasi negara dalam pengurusan integriti dan pencegahan rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar, pada Selasa.

“Berdasarkan mesyuarat tersebut beberapa strategi pembaharuan telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan oleh setiap Focus Group (FG) CPI. Antaranya termasuk pembudayaan integriti serta adaptasi teknologi dalam usaha membanteras rasuah dengan menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai model rujukan kepada PBT lain,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diminta untuk terus melaksanakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan dan pelabur, termasuk Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu rasuah yang boleh menjejaskan prospek pelaburan dan perniagaan di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, prestasi Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 menunjukkan peningkatan sebanyak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-34 pada tahun 2024 ke tangga ke-23 tahun ini.

“Indikator berkaitan sogokan dan rasuah turut menunjukkan peningkatan sebanyak 12 anak tangga dan menyumbang kepada peningkatan keseluruhan prestasi Malaysia dalam penarafan IMD,” katanya.

Pasukan Petugas Khas CPI yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara akan terus memberi komitmen tertinggi dalam memperkasa usaha memperkukuh tadbir urus dan pencegahan rasuah secara menyeluruh melalui pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government approach).

“Diharapkan pelaksanaan inisiatif strategik oleh Pasukan Petugas Khas CPI ini akan memberi impak positif terhadap prestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah akan datang, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap sistem pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Mesyuarat turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here