Home Rasuah Busters Cik Puan Gojes tidak akan henti buat video kebaikan

Cik Puan Gojes tidak akan henti buat video kebaikan

0
Cik Puan Gojes tidak akan henti buat video kebaikan

SHAH ALAM – Kehidupan susah pada zaman kanak-kanak menjadi pendorong Ismaniza Fahida Ismail, 40 atau lebih dikenali dengan Cik Puan Gojes (CPG) berjaya dalam bidang perniagaan kosmetik yang diceburinya.

Menurut bekas guru Bahasa Inggeris itu, niatnya berkecimpung dalam bidang bisnes bukan sahaja untuk memajukan diri tetapi turut diiringi dengan niat membantu mereka yang susah dan memerlukan bantuan.

“Saya ni cukup obses dengan duit dan mahu jadi kaya sebab dulu hidup dalam keluarga susah sampai hendak seterika baju sekolah pun kena pinjam dengan jiran,” katanya ketika menjadi tetamu undangan Program Kafe Rasuah Busters (RB) sempena Konvoi RB (Utara) di sini pada Rabu.

Ismaniza mengakui kejayaannya kini didorong anak-anak murid yang pernah dibantunya sewaktu memegang profesion sebagai pendidik selama 18 tahun.

“Banyak pengalaman diperoleh ketika menjadi guru, saya pernah merungut sewaktu ditukarkan dari sekolah bandar ke luar bandar namun itu sebenarnya permulaan kehidupan,” katanya yang meletak jawatan secara rasmi sebagai guru pada 12 Jun lalu.

Menurutnya, sejak mengajar di sebuah sekolah di Kota Damansara lagi dia sudah berminat membantu orang lain terutama anak muridnya.

“Bila ditukarkan ke sebuah sekolah di dalam daerah Baling, saya dapati anak murid kebanyakannya datang daripada keluarga orang susah jadi ia menjadi permulaan untuk berkongsi rezeki dengan mereka.

“Pada mulanya memang saya tak setuju ditukarkan sekolah dan hati rasa berbelah bagi.

“Bila masuk sahaja ke sekolah, murid di situ teruja lihat kereta Mercedes yang saya pandu. Saya beri peluang kepada mereka untuk masuk dan duduk dalam kereta, dari di situlah bermula video tular serta saya menerima pelbagai komen netizen,” kata pempengaruh yang mempunyai tiga cahaya mata itu,

Tambahnya, alangkah terkejutnya selepas sesi suai kenal, rupa-rupanya 90 peratus daripada anak murid bawah seliannya datang daripada keluarga yang susah.

“Mereka memang mengharapkan makanan Rancangan Makanan Tanbahan (RMT) untuk mengisi perut pada waktu rehat

“Kalau di sekolah lama (Kota Damansara ) dulu, RMT tu kene ‘lelong’ sahaja, tetapi RMT di sekolah luar bandar seperti itu diibaratkan seperti macam makan nasi ayam,” katanya.

Lihat sendiri kehidupan anak murid

Ismaniza berkata, beliau mengunjungi rumah anak muridnya satu persatu bagi mengetahui lebih dekat latar belakang dan kehidupan mereka.

“Rata-rata mereka hidup susah… bukan sahaja peralatan rumah tidak lengkap malah makan dan minum juga tidak menentu,

“Dari situ saya berazam akan bantu mereka dan yakin itu antara sebab mengapa ALLAH hantar saya ke sini,” katanya.

Jelasnya lagi, rata-rata anak kampung tidak minat belajar bahasa Inggeris dan ia merupakan tugas berat buatnya ketika itu.

“Jadi saya janji akan bawa mereka makan di sebuah restoran makanan segera jika semua dapat siapkan latihan diberikan.

“Mereka bersungguh-sungguh siapkan kerja sekolah semata-mata kerana mahu pergi restoran yang tak pernah dikunjungi sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai video yang dimuat naik ke media sosial, Ismaniza memberitahu tujuannya bukan mahu menunjuk riak.

“Saya kongsikan video- video kebaikan kerana nak bahagiakan orang sekeliling termasuk anak murid,” katanya

Menurutnya lagi, kecaman tidak akan membuatnya berputus asa sebaliknya akan menjadi semangat kepada dirinya.

“Kalau ada pujian mesti ada kecaman, jika saya berhenti kongsi video-video kebaikan, ia tidak dapat dijadikan inspirasi kepada anak muda untuk terus berbuat baik.

“Contohnya saya tolong 40 anak murid, 30 daripadanya mungkin akan menjadikan ia ikutan disebabkan itu, saya tidak akan berhenti buat video kebaikan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here