Home Rasuah Busters Atlet e-Sukan mampu jadi ejen antirasuah

Atlet e-Sukan mampu jadi ejen antirasuah

0
Atlet e-Sukan mampu jadi ejen antirasuah

IPOH – Usaha membanteras kegiatan rasuah di peringkat komuniti menerusi kempen Rasuah Busters mula menampakkan hasil apabila terbaharu, Persatuan Sukan Elektronik Negeri Perak (ESP) turut memberi komitmen terhadap kempen tersebut.

Presiden ESP, Muhammad Naim Al-Amin Saharudin berkata, platform sukan elektronik (e-Sukan) mampu menjadi medium untuk menyemai kebencian terhadap rasuah khususnya dalam kalangan anak muda.

Malah menurutnya, atlet sukan elektronik itu juga mampu menjadi ejen antirasuah dengan membantu mempergiatkan kempen-kempen dan kesan akibat pengambilan rasuah dalam kejohanan-kejohanan e-Sukan yang disertai.

“Selain itu, penglibatan influencer e-Sukan ini untuk kempen antirasuah juga membantu mempergiatkan lagi usaha membanteras gejala itu di peringkat akar umbi. Kempen-kempen yang dilaksanakan ini perlu mengikut arus perubahan semasa dan tidak melalui poster-poster sahaja.

“Mungkin aplikasi permainan yang berkaitan gejala rasuah boleh dibangunkan bagi menarik anak muda khususnya untuk lebih faham berkaitan jenayah kolar putih ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Naim berkata, kegiatan rasuah boleh berlaku di mana-mana termasuklah dalam industri e-Sukan itu sendiri jika ia tidak dibendung di peringkat awal lagi.

Katanya, jika kegiatan tidak bermoral itu berleluasa di dalam industri e-Sukan, tidak mustahil industri tersebut akan mengalami kemusnahan dan kepupusan akibat rasuah berkenaan.

“Kita sedia maklum e-Sukan antara sukan yang mampu menjana pulangan yang lumayan. Justeru, tidak mustahil perkara ini boleh berlaku. Namun begitu, penekanan kepada keterbukaan khususnya dalam melantik penganjur-penganjur kejohanan perlu dilaksanakan dengan lebih telus.

“Selain itu, dalam kejohanan juga, unsur-unsur rasuah boleh berlaku melalui bayaran kepada marshal-marshal kejohanan untuk memberi lebih mata kepada pasukan yang bertanding,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Naim berkata, jenayah rasuah sukar dibendung jika sikap masyarakat sendiri yang tidak melihat secara serius ancaman rasuah sebagai isu yang boleh memudaratkan ekonomi negara.

“Saya melihat kesedaran rakyat masih di tahap yang rendah mungkin atas faktor tidak mahu terlibat dengan masalah jika melaporkan isu-isu berkaitan rasuah.

“Untuk itu, antara langkah yang perlu ditekankan adalah memperbetulkan persepsi bahawa melaporkan rasuah akan menyebabkan pengadu ditimpa masalah,” katanya.

Menurutnya, ramai yang masih bimbang untuk membuat laporan kerana takut mereka juga akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat.

Selain itu, katanya, penguatkuasaan akta juga perlu diperhebatkan bagi membendung masalah ini terus berleluasa.

“Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan ke atas pesalah rasuah agar mereka serik untuk melakukan jenayah tersebut selain menjadi pengajaran kepada masyarakat umum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here