Home Rasuah Busters ‘Anak muda frontliners antirasuah’

‘Anak muda frontliners antirasuah’

0
‘Anak muda frontliners antirasuah’

IPOH – Anak muda di negara ini digesa menjadi barisan hadapan dalam agenda membanteras rasuah yang terus menular dalam masyarakat.

Presiden Gerakan Pelajar India Se-Malaysia, A Arvend berkata, golongan itu perlu sentiasa peka dengan semua pihak yang berurusan dengan mereka.

Menurutnya, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilakukan segera sekiranya mereka berdepan situasi rasuah tanpa memberi peluang kepada peminta atau pemberi rasuah.

“Kesedaran mengenai gejala rasuah dalam kalangan masyarakat masih kurang memuaskan.

“Kalau segelintir masyarakat tidak merasuah bagi memudahkan urusan mereka atau menggunakan jalan pintas, sudah pasti gejala rasuah tidak akan wujud.

“Jadi, anak muda perlu bangkit dan memberanikan diri untuk mencegah serta menentang gejala rasuah demi masa depan agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Arvend berkata, kegiatan rasuah berlaku kerana ada hubung kait yang penting antara budaya merasuah dalam kalangan masyarakat yang mengambil kesempatan terhadap si penerima.

Menurutnya, usaha membanteras jenayah rasuah perlu dipupuk dari seawal usia kanak-kanak dengan melabelkan perbuatan itu sesuatu yang amat jijik.

Beliau berkata, silibus mata pelajaran berkaitan seperti Pendidikan Sivik perlu dirombak dengan memasukkan elemen antirasuah bagi meningkatkan kesedaran di peringkat sekolah lagi.

“Anak-anak perlu didoktrin tentang kanser rasuah ini dari bangku sekolah lagi supaya minda mereka sudah ditanamkan tentang keburukan dan implikasi jenayah rasuah ini.

“Pendidikan itulah satu-satunya tunjang utama bagi mendidik semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda membanteras gejala rasuah,” katanya.

Beliau juga berpendapat sinergi dalam kalangan media di negara ini perlu menyahut kempen Sinar Rasuah Busters agar segenap lapisan masyarakat merasai gerakan yang diwujudkan.

Jelasnya, kesemua agensi media di negara ini perlu menggembleng tenaga bagi memastikan semua pihak sentiasa membaca ataupun diberi pendedahan tentang buruknya perbuatan rasuah.

Arvend berkata, SPRM juga perlu menjadi sebuah badan yang benar-benar bebas daripada ruang lingkup kerajaan supaya tidak dilihat sebagai agensi yang berpihak ketika membuat pendakwaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here