Home Rasuah Busters 'Air deras bergulung-gulung, bunyi macam helikopter'

'Air deras bergulung-gulung, bunyi macam helikopter'

0
'Air deras bergulung-gulung, bunyi macam helikopter'

KUALA SELANGOR – “Masa itu saya nampak air deras datang bergulung-gulung, bunyi kuat macam helikopter,” kata pemilik rumah yang hampir ranap, Mohd Yusof Aminullah, 64.

Warga emas yang sudah menetap di Kampung Bestari Jaya, di sini, itu sejak lima dekad lalu nyata sebak apabila struktur rumahnya ditumbangkan banjir besar.

“Air mula memasuki ke kawasan kediaman pada hari Sabtu malam dan kami sangka ia banjir biasa.

“Sekitar jam 4 pagi Isnin, air semakin deras dan sudah melebihi paras pinggang. Saya segera arah isteri dan anak keluar terus dari rumah untuk ke tempat yang lebih tinggi.

“Masa itu hanya ada seorang anak lelaki bersama saya untuk cuba selamatkan dokumen dan perkakasan yang perlu, namun tidak lama kemudian anak saya menjerit supaya cepat selamatkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters, pada Sabtu.

Menurut Mohd Yusof, lebih meruntun hati sebaik mereka semua berjaya keluar dari rumah, struktur hadapan rumah jiran runtuh sebelum disusuli rumahnya mengalami nasib sama.

Katanya, jalan hadapan rumah juga habis musnah dan peralatan perubatan isteri dan kad janji temu hospital habis rosak.

“Setakat hari ini, kami masih tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah kerana dibimbangi struktur dan keadaan rumah masih tidak stabil, senget dan retak. Habis semuanya rosak mencecah RM200,000,” ujarnya.

Sementara itu, anak Mohd Yusof iaitu Muhammad Amirul, 27, berkata, dia menarik tangan ayahnya keluar untuk menyelamatkan diri ke tempat yang tinggi.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, waktu itu nyawa adalah lebih berharga daripada harta benda.

“Kita reda dengan apa yang berlaku kerana nyawa sangat penting. Alhamdulillah, sempat selamatkan 10 ekor kucing peliharaan,” katanya.

Justeru, dia sekeluarga berharap rumah yang dibina dengan titik peluh ayahnya itu dapat dibina semula dan akan berikhtiar sebaiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here