Home Koronavirus Yakin dengan vaksin AstraZeneca

Yakin dengan vaksin AstraZeneca

0
Yakin dengan vaksin AstraZeneca

CHICAGO – Amerika Syarikat (AS) sedang mengkaji keputusan ujian klinikal vaksin AstraZeneca-Oxford dan kelulusan untuk kegunaan kecemasan akan diberikan pada bulan depan.

Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), Dr Francis Collins berkata, pemantau bebas sedang menganalisis data daripada 32,000 individu untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut.

“Ia akan diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) jika hasilnya positif dan berjalan lancar,” ujarnya.

Collins menganggarkan FDA mungkin memerlukan tempoh kira-kira tiga minggu untuk melakukan analisis data ujian tersebut.

Sementara itu, jurucakap AstraZeneca, Michele Meixell memaklumkan data ujian klinikal fasa ketiga dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Difahamkan, vaksin dihasilkan firma farmaseutikal AstraZeneca bersama Oxford University adalah yang paling murah dan dijangka menjadi pilihan utama program vaksinasi di kebanyakan negara membangun.

Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara antarabangsa supaya tidak menghentikan kempen vaksinasi selepas kebanyakan negara bimbang dengan kesan sampingan vaksin AstraZeneca-Oxford.

Agensi PBB itu menegaskan panel penasihat badan terbabit sedang mengkaji laporan berkaitan vaksin berkenaan dan akan mengeluarkan laporan tentangnya secepat mungkin.

Menurut WHO, ia mungkin tidak akan mengubah saranan penggunaan vaksin AstraZeneca-Oxford seperti dikeluarkan pada bulan lalu termasuk di negara yang berdepan ancaman varian baharu berasal dari Afrika Selatan.

“Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan beberapa insiden yang dilaporkan berpunca daripada vaksin tersebut. Ia adalah penting untuk memastikan kempen vaksinasi diteruskan agar kita dapat menyelamatkan nyawa dan membendung penyakit lebih teruk akibat virus itu,” tegas jurucakap WHO, Christian Lindmeier.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kesihatan didakwa mati lepas disuntik vaksin AstraZeneca

Di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat, Australia mengumumkan ia tetap akan meneruskan kempen imunisasi menggunakan vaksin AstraZeneca-Oxford.

Ketua Pegawai Perubatan, Paul Kelly berkata, pemerintah tetap yakin dengan keberkesanan vaksin tersebut dan tiada bukti sahih menunjukkan ia telah menyebabkan pembekuan darah seperti didakwa beberapa pihak.

Thailand juga mengambil keputusan sama seperti Australia walaupun Indonesia masih belum memutuskan untuk meneruskan kempen vaksinasi menggunakan vaksin AstraZeneca-Oxford tersebut susulan langkah penggantungan yang dibuat Ireland dan Belanda pada Ahad.

Ketika ini, beberapa negara lain termasuk United Kingdom (UK) dan Poland terus menggunakan vaksin terbabit.

Pada awal bulan lalu, Denmark dan Norway melaporkan beberapa kes termasuk masalah pendarahan, pembekuan darah dan jumlah platelet yang rendah selepas individu terbabit disuntik dengan vaksin AstraZeneca-Oxford. – Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Australia akan terus guna vaksin Covid-19 AstraZeneca

Indonesia tangguh penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here