Home Koronavirus Warga emas 100 tahun terima vaksin Covid-19

Warga emas 100 tahun terima vaksin Covid-19

0
Warga emas 100 tahun terima vaksin Covid-19

POKOK SENA – Seorang warga emas berusia 100 tahun dipercayai antara individu tertua di daerah itu menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Klinik Kesihatan Pokok Sena di sini pada Sabtu.

Warga emas, Zakaria Jab berkata, dia tidak berasa takut untuk menerima suntikan vaksin walaupun sudah agak berumur berbanding orang lain.

Menurutnya, dia yang aktif bersama golongan tabligh sebelum ini bersedia untuk menerima suntikan kerana ingin untuk terus berdakwah kepada masyarakat sekiranya masih sihat.

“Ada orang datang ke rumah anak di Kampung Seberang Paya, mukim Lengkuas dan mengajak pak cik untuk menerima suntikan vaksin.

“Pak cik mahu cucuk sebab rasa selamat dan tidak takut kerana pernah melalui beberapa pengalaman sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di klinik berkenaan pada Sabtu.

Warga emas berkenaan ditemani Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Zakaria yang memiliki 13 anak berkata, dia tidak mempunyai masalah kesihatan cumanya kakinya agak lemah dan menggunakan kerusi roda disebabkan faktor usia.

Ketika diminta menceritakan amalannya hingga masih sihat ketika ini, Zakaria berkata, dia kerap solat sunat tahajud selain tidak pernah terlepas solat lima waktu.

Sementara itu, Mahfuz berkata, warga emas yang dikenali sebagai Pak Ndak Ya itu bakal menyambut hari lahir ke 100 pada Oktober depan.

“Namun, saya dimaklumkan usianya mungkin melebihi 100 tahun disebabkan kelewatan pendaftaran kelahiran pada zaman dahulu,”katanya.

Katanya, Pak Ndak Ya merupakan seorang yang rajin berdakwah melalui tabligh dan berazam untuk terus berdakwah sekiranya makin sihat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here