PUCHONG – Envirotainer yang mengandungi 200 liter vaksin Sinovac dalam bentuk cecair tiba di kilang farmaseutikal Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.22 pagi pada Sabtu.
Tinjauan mendapati dua lori yang membawa vaksin berkenaan diiringi enam kereta peronda, sebuah van dan empat motosikal berkuasa tinggi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejurus bergerak kira-kira jam 9.30 pagi dari KLIA.
Konvoi pembawa vaksin ke Taman Perindustrian Puchong Utama itu bergerak dengan kelajuan kira-kira 90 kilometer sejam dan mengambil masa kira-kira 52 minit dengan laluan ke taman perindustrian itu dikawal ketat pasukan polis.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan vaksin berkenaan telah tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di kilang syarikat farmaseutikal itu pada jam 10.22 pagi untuk tujuan penyimpanan, pengilangan dan pembotolan.
“Pihak polis akan terus menjaga dan memantau keselamatan vaksin Covid-19 Sinovac ini selagi ia berada di PSV kilang Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd,” katanya.
Malaysia menerima vaksin Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319 pada pagi Sabtu
Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi 200 liter vaksin Sinovac dalam bentuk cecair itu, mendarat di KLIA kira-kira jam 9 pagi. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 keluaran Sinovac tiba di Malaysia