PUTRAJAYA – Penggunaan warna jarum yang berbeza semasa suntikan adalah untuk mengelakkan berlakunya pencemaran silang.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, perbezaan warna jarum adalah menunjukkan saiz lubang jarum yang berbeza.
“Semasa menyedut vaksin dari botol, ia memerlukan jarum lebih besar iaitu warna biru bagi memastikan proses pengekstrakan berjalan lancar,” katanya.
Menurut unit komunikasi itu, penggunaan jarum bersaiz lebih kecil iaitu merah atau jingga adalah untuk mengurangkan rasa sakit dan kesan lebam.
“Apa yang penting, kandungan vaksin diambil dari botol dan diberikan kepada pesakit tidak akan berubah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.
Berkaitan perkara itu, timbul perdebatan warganet selepas sesi suntikan Comirnaty terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu yang menggunakan jarum berwarna jingga.
Sebelum itu, jururawat bertugas menggunakan jarum biru untuk mengambil dos vaksin daripada botol.